MASALAH longgokan sampah yang berasal dari negara maju bukan hanya bermula apabila China mula mengharamkan kemasukannya pada awal 2018. Tetapi ia telah lama berleluasa kerana bagi negara maju, itu adalah cara termudah melupuskan sisa sampah dengan kos rendah.
Malaysia, Thailand dan Filipina adalah destinasi sampah yang popular untuk negara seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Kanada.
Mungkin ramai agak musykil bagaimana sampah sarap itu diberi kebenaran eksport oleh negara asal dan mengapa pula sisa tersebut mudah diterima oleh negara destinasi seperti Malaysia?
Jawapan kepada persoalan tersebut adalah kerana wujud manipulasi yang diamalkan oleh negara asal sehingga ia berjaya mengelirukan pihak bertanggungjawab di negara destinasi.
Mengapa dihujahkan wujud proses manipulasi adalah pengeksport negara asal sering melabelkan sampah sebagai sisa yang boleh dikitar semula seperti plastik dan penggunaan label sedemikian membuatkan sampah tersebut mudah mendapat kelulusan import di negara destinasi.
Tetapi hakikatnya adalah sisa tersebut sebenarnya bercampur bahan yang dikitar dengan sampah sarap.
Lazim juga sampah tersebut mempunyai kandungan toksik yang membawa mudarat bukan sahaja kepada manusia tetapi juga alam sekitar.
Negara maju seperti AS dan UK tidak begitu mengendahkan manipulasi label oleh pengeksport mereka kerana melalui kaedah ini statistik kitar semula negara masing-masing akan kelihatan baik yang menjurus kepada penduduk AS dan UK umpamanya mengamalkan sikap yang mulia iaitu kitar semula.
Sedangkan hakikatnya proses kitar semula tersebut hanya berkisar kepada mengeksport sisa sampah ke negara lain! Mangsanya adalah penduduk dan alam sekitar negara destinasi.
Dan tidak menghairankan dua minggu lepas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc), Yeo Bee Yin menegaskan 60 kontena sisa sampah yang dibawa masuk melalui Pelabuhan Klang akan dihantar balik ke negara asal.
“Kita akan hantar semula 10 kontena sisa sampah plastik seberat 450 metrik tan serta merta. Notis akan diberikan pada hari ini dan dalam tempoh 14 hari, syarikat yang mengimport sisa sampah ini perlu dihantar semula ke negara asal. Malaysia tidak akan menjadi tempat pembuangan sampah untuk dunia.
“Kita akan bekerja keras, siapa yang hantar sampah ke sini, kita akan hantarnya semula. Kita akan lawan walaupun Malaysia merupakan negara kecil, kita tidak boleh dibuli negara maju” tegasnya dalam sidang media pada 28 Mei lepas.
Tidak diketahui sehingga hari ini berapa banyak notis telah dikeluarkan atau berapa biji kontena sisa sampah telah dihantar pulang ke negara asal tetapi apa yang pasti adalah sampah dari Kanada masih tersadai di Pelabuhan Klang.
Mengapa dipetik Kanada secara spesifik adalah kerana masalah serupa yang dihadapi oleh Filipina dengan Kanada baru nampak jalan penyelesaian setelah lima tahun berlalu.
Beberapa hari lepas sebuah kapal memuatkan kontena sampah dari Filipina diangkut keluar menuju ke negara asal sampah itu iaitu Kanada.
Kanada hanya bersetuju menerima balik sampah tersebut setelah Presiden Filipina, Rodrigo Duterte membuat beberapa bentuk ugutan terhadap Ottawa yang dianggap amat keras dan tidak diplomatik.
Kekecewaan Duterte dengan sikap lengah Ottawa telah memaksa beliau memanggil pulang duta Filipina di Kanada, mengeluarkan amaran akan melonggokkan sampah di hadapan pejabat kedutaan Kanada di Manila dan juga ugut untuk isytihar perang.
Kaedah semberono Duterte walaupun dianggap tidak diplomatik berjaya memaksa bukan sahaja Kanada tetapi juga Korea Selatan menerima kembali sampah yang dihantar secara manipulasi ke Filipina.
Begitulah caranya berdepan dengan negara maju yang lebih besar dan kadang kala sedikit angkuh bila berhadapan dengan negara kecil seperti Malaysia dan Filipina.
Bila Bee Yin menegaskan Malaysia tidak rela dibuli negara besar, harapnya rundingan yang baru masuk peringkat awal dengan Kanada mampu membuahkan hasil secepat mungkin.
Tetapi apabila wakil Kementerian Alam Sekitar Kanada, Gabrielle Lamontagne menegaskan beberapa hari lepas bahawa Kanada masih menunggu maklumat terperinci mengenai sampah Kanada yang dihantar ke Malaysia, nampak gayanya lama lagilah kontena sampah tersebut akan tersadai di Pelabuhan Klang.










