MENYENTUH mengenai senario politik Malaysia yang ada pada hari ini, kita rakyat Malaysia seharusnya menolak politik kotor yang menggunakan apa sahaja untuk mencemar imej dan reputasi mana-mana tokoh politik sama ada dalam kalangan pemerintah mahupun pembangkang.
Politik kotor ini perlu ditolak kerana ia amat menyukarkan, merugikan rakyat dan juga imej Malaysia di peringkat antarabangsa.
Kita seharusnya memberi keyakinan penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membuat penyiasatan dan penyelidikan secara telus, teliti serta sebaik mungkin.
Sepatutnya, tumpuan utama kepemimpinan sekarang sama ada kerajaan ataupun politik adalah untuk mempersiapkan mental rakyat bagi berdepan dengan keadaan ekonomi cukup mencabar pada hari ini.
Iklim ekonomi memang cukup tidak baik terutama apabila berlaku perang dagang antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang mengakibatkan ekonomi dunia menjadi tidak stabil.
Ketidaktentuan yang berlaku ini akan mengakibatkan pelbagai impak kepada institusi kewangan, tarif dikenakan dan harga komoditi termasuk kelapa sawit dan getah.
Hal ini pastinya akan memberikan kesan besar kepada negara kita Malaysia. Untuk menghadapi keadaan ekonomi dunia yang meleset, rakyat memerlukan satu kekuatan dalaman, jati diri dan daya tahan yang kuat.
Malaysia perlu ada iklim ekonomi yang mampu berdikari atas kekuatan kita sendiri untuk memastikan nasib rakyat terbela. Orang ramai perlu dipastikan tidak kelaparan dan dalam masa sama boleh hidup dengan munasabah dalam keadaan yang mencabar pada hari ini.
Oleh yang demikian, kepemimpinan Himpunan Generasi Muda Muslim Malaysia (HG3M) akan mengadakan lawatan ke negeri-negeri untuk bertemu pimpinan belia, pelajar, mahasiswa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Pada minggu ini kita ke selatan iaitu Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Minggu depan insya-Allah ke utara; Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis serta minggu berikutnya ke Pantai Timur dalam konteks untuk berkongsi keprihatinan kita berkaitan isu politik dan ekonomi sekali gus cuba untuk mencari jalan muafakat dan titik pertemuan bagi menangani keresahan rakyat.
Kita perlu mewujudkan satu muafakat baharu yang menggembleng semua kekuatan yang ada berkaitan soal ekonomi, supaya kita boleh mara ke hadapan bagi membina Malaysia baharu yang betul-betul memberikan harapan baharu kepada rakyat.
Ini termasuk cadangan mewujudkan sistem kewangan madani yang lebih peka, lebih telus dan lebih prihatin kepada semua pihak.
Presiden AS, Donald Trump sendiri mengakui kelemahan sistem kewangan di negara itu dan mulai melihat piawaian emas sebagai asas bagi mewujudkan sistem kewangan yang ada nilainya.
Rusia dan Cina juga sudah mulai melihat keperluan adanya piawaian emas ini dan untuk negara kita Malaysia; Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika sesi dialog Persidangan Antarabangsa mengenai Masa Depan Asia di Tokyo, Jepun dua minggu lepas juga ada mencadangkan mata wang baharu berasaskan emas memandangkan ia lebih stabil berbanding dagangan dalam mata wang semasa yang bersifat manipulatif.
Saya kira sebelum kita melangkau kepada hal tersebut yang mungkin memerlukan sedikit masa untuk dilaksanakan adalah lebih baik ditumpukan untuk memperkasa institusi baitulmal kerana dalam sejarah tamadun Islam, institusi itu kuat peranannya.
Kalau pada zaman pemerintahan khalifah Umar Al-Khattab, tiada orang miskin lagi yang boleh diberikan bantuan oleh baitulmal berikutan keberkesanan institusi itu untuk membasmi kemiskinan.
Kalau diuruskan betul-betul, institusi baitulmal ini boleh menjadi satu institusi kewangan tersendiri dan komprehensif yang boleh merangsang ekonomi umat Islam di Malaysia.
Penting pembaharuan ekonomi
Kerajaan hari ini melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh ada memperkatakan soal pembaharuan undang-undang syariah dan seumpamanya di peringkat Persekutuan dan negeri.
Saya kira pembaharuan yang tidak kurang pentingnya adalah berkaitan pembangunan ekonomi yang merupakan bread and butter (isu keperluan harian) yang hampir dengan masyarakat.
Pembangunan ekonomi ini antara yang perlu kita selesaikan terlebih dahulu berdasarkan pengalaman masyarakat madani yang dibina oleh Rasulullah SAW.
Diikuti dengan Sahifah Madinah (Perlembagaan Madinah), antara yang terawal yang baginda lakukan adalah membangunkan Masjid Quba iaitu dari segi pembinaan intelektual dan kerohanian.
Tetapi pada masa sama, sebelum baginda turun dari kenderaan sama ada unta atau kuda, baginda mengarahkan Abdul Rahman bin Auf (salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang hartawan) untuk membetulkan pasar Madinah.
Pasar Madinah pada waktu itu penuh dengan manipulasi dan penindasan. Abdul Rahman berjaya membetulkan keadaan, sistem kewangan dan pasaran yang ada di pasar berkenaan pada waktu itu sehingga lahir masyarakat majmuk yang par excellence (amat cemerlang) waktu itu.
Mengikut kajian, penduduk Islam di Madinah pada waktu itu adalah sekitar 50 %, 30 % lagi beragama Kristian dan 20 % selebihnya beragama Yahudi, Zoroaster dan lain-lain.
Saya yakin dalam konteks Malaysia dengan semangat infaq (menderma) dan berzakat yang semakin tinggi serta persefahaman bersama dengan mufti-mufti dan Raja-raja, insya-Allah institusi baitulmal boleh diperkasakan untuk menjadi satu mata rantai bagi merangsang ekonomi umat Islam terutamanya Melayu dalam kita meniti keadaan ekonomi yang kian tidak menentu di abad ke-21 ini.
PENULIS ialah Pengerusi HG3M.










