Tak tumbang dek beliong - Utusan Malaysia

Tak tumbang dek beliong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UNGKAPAN tajuk di atas ini menarik untuk diteliti dan dijadikan bahan renungan bagi memahami tabii alam, kehidupan manusia dan perjalanan sejarah.

Sifat sejarah mengulangi. Tidak mengambil ibrah atau pengajaran dari sejarah menyebabkan peristiwa silam mengulangi walaupun dalam bentuk yang berbeza tetapi maksud dan akibatnya adalah serupa.

Sebatang pokok yang ingin ditebang tidak akan berlaku semata-mata-mata dengan beliong. Kayu yang disendal kepada beliong menyebab hentakan kuat yang boleh menumbang pokok.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bermakna tumbangnya sebatang pokok bukan semata-mata kerana beliong yang tajam tetapi disebabkan hentakan kayu yang menyebab pokok itu rebah.

Ungkapan ini terkandung makna mendalam bagi mereka yang berfikir. Betapa kayu yang disendalkan kepada beliong boleh menumbangkan kayu.

Kias yang mudah ialah betapa ketajaman beliong yang ada tanpa bantuan kayu, tidak akan mampu menumbang sebatang pokok.

Dalam analisis mudah sesuatu yang dihubungkan dengan bangsa atau kesatuan umat tidak akan runtuh sekiranya krisis tidak bermula sesama mereka.

Lalu fitnah memfitnah berlaku, kebencian dan dendam kesumat membudaya, hasad dengki menyubur, pertimbangan agama di tolak tepi dan akhirnya sesuatu bangsa atau umat menjadi lemah akibat berantakan sesama sendiri dan akhirnya secara licik ia dikuasai oleh pihak lain yang berkepentingan.

Dalam sejarah Melayu dan umat Islam ia terjadi silih berganti. Sejarah Melaka yang jatuh ke tangan Portugis asbabnya kerana hubungan pemimpin dan rakyat dalam pertikaian lalu muncul penasihat yang oportunis dan kesatuan kepimpinan dan rakyat menjadi retak. Kesan penjajahan berlangsung begitu lama.

Kejatuhan kerajaan Islam Andalusia dan Uthmaniah juga mempunyai kaitan serupa kerana ruh al-Quran tidak lagi dihayati dan peringatan al-Quran dan Sunnah Rasulullah dilupai.

Pokok yang berdiri teguh berpunca dari akar tunjang yang kuat. Akar tunjang kepada Islam dan umat Islam secara analoginya terletak kepada keteguhan akidah yang diyakini, kekuatan ibadah yang dilakukan, jalur syariah yang dijadikan pedoman dalam hidup dan kekuatan akhlak yang membentengi diri.

Akibat keteguhan akar yang semakin longgar, ibadah yang tidak diterjemah dalam kehidupan, syariah yang tidak lagi dijadikan rujukan mentertib diri dan kehidupan dan akhlak tidak sangat dititikberatkan.

Maka musuh-musuh Islam mudah mengatur strategi dan dengan bantuan mereka yang bersekongkol menyebabkan pokok tegak dapat direbahkan.

Bila sebatang pokok yang lebat rendangnya, ia tidak lagi jadi tempat perlindungan dan tempat berteduh di waktu panas. Buahnya yang ranum tidak lagi menjadi sumber rezeki manusia.

Kayu itu akan dipotong-potong dan dijadikan kayu api, daun keringnya dibakar menjadi abu seolah-olah pokok ini tidak pernah berjasa kepada manusia.

Analogi ini adalah membayangkan gelagat manusia dan sifat zaman yang tetap berubah sejak dulu sehingga kini dan tetap menjadi pola perlakuan masa depan. Di sini pentingnya agama menjadi pedoman ikutan supaya manusia tidak melampaui batas.

Islam umpamanya memberikan pedoman adil dan zalim, maaruf dan mungkar, baik dan buruk, dosa dan pahala, faktor dunia dan akhirat supaya ada pertimbangan manusiawi dalam melakukan sesuatu.

Tanpa agama manusia melihat faktor duniawi sebagai segala-gala. Mereka yang tamak akan melampias nafsu tamaknya secara serakah tanpa pertimbangan halal haram.

Mereka yang ego akan mempamerkan egonya atas asas kebencian dan dendam kesumat supaya yang dihajatnya tercapai.

Orang yang tidak memilih jalan siratul mustaqeen atau jalan orang yang lurus merasakan tipu muslihat dan pengkhianatan merupakan jalan terbaik untuk mencapai cita-cita diri, peribadi juga kumpulan.

Ibarat pokok yang rendang tadi, hidupnya amat berjasa kepada yang lalu lalang. Ada manfaat buah dan berteduh yang boleh didapati.

Akibat kayu penyendal yang berasal dari kayu juga bersama dengan beliong seolah-olah musuhnya melakukan suatu pakatan walaupun hala tuju perbuatan itu tidak sama.

Tetapi pokok lebat itu perlu ditumbangkan supaya pohon baru dapat ditanam ikut citarasa yang tidak sama.

Apa yang sedang berlaku di Syria ialah pertentangan pemimpin mereka berbangsa Syria dengan kecenderungan agama yang tidak sama dan menjadi alat kepada kuasa Amerika Syarikat (AS) dan Rusia, akhirnya ditentang pihak kiri, menyebabkan jutaan jadi pelarian ibarat hilang tempat berteduh.

Hal sama berlaku di Iraq, Libya, Yemen dan negara-negara Islam lain yang terbelenggu konflik, menyebabkan rakyatnya menderita dan sumber hasil bumi yang banyak menjadi bahan eksploitasi kuasa besar untuk kepentingan mereka. Ianya boleh berlaku di dunia umat Melayu kerana gelagat pelanduk lupakan jerat tetapi jerat tidak pernah lupakan pelanduk. Kewaspadaan semakin hilang, penyakit mati rasa semakin bermaharajalela. Akhirnya beliong bebas melakukan apa saja untuk menyebabkan kemusnahan yang lebih luas terjadi kerana kayu sentiasa merelakan dirinya untuk diperalatkan.

PROFESOR DATUK DR. SIDEK BABA ialah Pensyarah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini