Mohamaddin capai KPI lebih 93 % - Utusan Malaysia

Mohamaddin capai KPI lebih 93 %

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UTUSAN: Program terkini kementerian untuk memperkenalkan dan menonjolkan sektor kebudayaan di Malaysia?

MOHAMADDIN: Seperti sedia maklum, kementerian ini berperanan menjaga pelancongan, seni dan budaya namun, kebelakangan ini banyak penekanan kepada pelancongan. Kebudayaan pula meliputi banyak cabang seperti tarian dan sebagainya tetapi saya mahu menekankan budaya orang Malaysia yang perlu diberi perhatian secara holistik supaya orang luar memandang kita dengan baik.

Justeru saya fikir, pendidikan moral perlu diketengahkan kepada semua pelajar di sekolah termasuk pelajar Islam agar generasi akan datang tahu harga diri serta berbudi bahasa kerana saya lihat kini, sikap, moral, sopan santun, adat hormat-menghormati sudah pupus dalam kalangan anak muda.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mengenai dakwaan kononnya Tourism Malaysia tidak melakukan persediaan secukupnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020), apa komen Datuk?

Seperti laporan media baru-baru, pelancong yang datang ke Malaysia seramai tujuh juta orang dan telah berbelanja sebanyak RM21.4 bilion bermula Januari hingga Mac lalu. Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 16.9%, berbanding hanya RM18.3 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

Situasi berkenaan menunjukkan, segala promosi yang telah dibuat berjaya menarik minat pelancong untuk datang ke negara kita.Jumlah kedatangan pelancong ke Malaysia untuk tahun ini dijangka melebihi sasaran iaitu 28 juta pelancong dengan nilai pendapatan RM90 juta.

Ada kemungkinan mereka ini tidak nampak apa yang kita lakukan tahun lepas. Kalau tahun ini kita menerima 28 juta pelancong, tidaklah susah sangat untuk menetap sasaran 30 juta pelancong untuk tahun akan datang (TMM 2020) dengan pendapatan RM100 bilion.

Kalau peningkatan ini sudah berlaku dan berjalan dengan baik, adakah pendapatan yang tinggi seumpama ini dituduh tidak buat kerja? Kalau kita tidak buat kerja, kita tidak dapat capai sasaran seumpama ini.

Kementerian juga sentiasa terbuka menerima sebarang kritikan daripada orang ramai mengenai sebarang perancangan promosi yang dijalankan.

Mengenai ‘perang saman’ antara Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) dan AirAsia yang sedang berlaku kini, adakah ia memberi kesan kepada industri pelancongan negara?

Saya tidak fikir ia memberi kesan kepada industri pelancongan negara kerana itu hal dalaman mereka, AirAsia tetap meneruskan operasi dan membawa pelancong ke Malaysia.

Pada saya, hal dalaman antara kedua-dua syarikat tidak menjejaskan keinginan pelancong untuk datang ke negara ini kerana mereka tidak terlibat dengan pertelagahan tersebut.

Keputusan kerajaan untuk menyambung semula Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka merancakkan lagi industri pelancongan khususnya bagi negeri-negeri di Pantai Timur. Boleh Datuk perincikan perkara tersebut?

Sudah semestinya kementerian ini turut memberi tumpuan kepada pelancong domestik dan dengan projek ECRL itu nanti, secara tidak langsung akan merancakkan lagi pergerakan pelancong tempatan.

Dalam pada itu kita akan terus memastikan pengangkutan awam di negara ini memberi perkhidmatan yang terbaik supaya pengguna berpuas hati seterusnya memberi keselesaan kepada mereka.

Kementerian saya sambut baik keputusan untuk teruskan projek ECRL yang dilihat dapat meningkatkan sektor pelancongan di setiap negeri dan saya yakin jumlah pelancong luar dan tempatan akan bertambah dari semasa ke semasa.

Boleh Datuk ulas perkembangan semasa politik di Sabah dengan kemasukan Bersatu?

Kemasukan Bersatu ke Sabah tidak mendatangkan sebarang masalah, sama juga dengan sebelum ini adanya parti-parti lain.

Ia juga dilihat tidak akan memberi kesan kepada Parti Warisan Sabah (Warisan) yang mentadbir Sabah ketika ini memandangkan kami dari kumpulan yang sama dan sehaluan.

Bagaimana penerimaan terhadap Bersatu jika dibandingkan dengan Warisan yang lebih memperjuangkan hak Sabah?

Penerimaan rakyat Sabah terhadap Bersatu amat baik, mereka lihat Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad iaitu individu yang mempunyai kepimpinan dan ketokohan yang tinggi sekali gus diyakini dapat membawa Sabah dan Malaysia khususnya ke arah lebih baik.

Warisan dan Bersatu mempunyai kekuatan masing-masing dan saya percaya Bersatu akan membantu Warisan untuk memperkuatkan pentadbiran di Sabah.

Walaupun sebelum ini pindaan perlembagaan mengenai status Sabah dan Sarawak gagal dilaksanakan, saya bangga dengan komitmen dan sokongan ahli Parlimen yang telah memberi undian termasuk Dr. Mahathir dan juga Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi sokongan.

Secara amnya, apa pandangan Datuk mengenai situasi politik semasa?

Keadaan semasa politik di Malaysia ketika ini berjalan dengan baik, kerajaan Pakatan Harapan (PH) juga berjaya mentadbir dengan baik dan jika ada yang tidak berpuas hati pun ia melibatkan perkara yang kecil sahaja.

Pucuk pimpinan yang diketuai Dr. Mahathir juga berada ditahap terbaik dan saling menyokong antara satu sama lain.

Selepas hampir setahun dilantik menteri, bagaimana Datuk melihat kedudukan kementerian?

Kalau dahulu kementerian ini ‘sakit’, tetapi sekarang sudah kembali pulih. Jika dilihat indeks petunjuk prestasi (KPI) menteri, saya memperolehi tahap 93 % iaitu antara yang tertinggi berbanding menteri di kementerian lain.

KPI itu sama dengan beberapa menteri lain yang tidak saya sebut di sini. Saya yakin momentum ini akan berterusan dan bertambah baik pada masa akan datang.

Ramai yang bertanya mengenai tahap pencapaian saya, tetapi saya bukan orang yang ingin menilai diri sendiri, bagi saya biar masyarakat yang menilai prestasi semasa kementerian ini.

AHLI Parlimen Silam, Datuk Mohamaddin Ketapi menjadi wakil rakyat pertama dari Sabah yang dilantik sebagai Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya dalam Kabinet Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Berketurunan Idahan dan dilahirkan pada 3 Jun 1957 di Kampung Segama, Lahad Datu, Mohamaddin berharap peluang dan kepercayaan yang diberikan dapat digunakan untuk memartabat dan memperkasakan industri pelancongan, seni dan budaya di Malaysia.

Dalam sesi temubual ‘kebudayaan dan politik’ bersama wartawan HAKIMI ISMAIL dan DIANA AZIS serta jurugambar RASHID MAHFOF baru-baru ini, Mohamaddin berkongsi cerita mengenai pelbagai isu termasuk perkembangan politik di Sabah.

Beliau yang juga Ketua Bahagian Warisan Bahagian Silam turut mendedahkan kementeriannya telah mencapai indeks petunjuk prestasi (KPI) lebih 93 % dan berjaya melaksanakan tugas yang diamanahkan setakat ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini