KUANTAN – Penyatuan ummah antara Pas dan UMNO perlu dipastikan berjalan dengan baik serta lancar demi memastikan gabungan itu dapat mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15.
Wakil Pemuda Pas Kedah, Nasrun Othman berkata, bagi memastikan perkara itu dapat dilaksanakan, semua pihak dalam Pas terutama dalam kalangan ‘orang lama’ perlu difahamkan berhubung penyatuan berkenaan.
“Kadangkala veteran ini mereka tidak faham kenapa kita mahu berdamai dengan UMNO, ini kerana mereka masih melihat UMNO masih dengan perangai lama. Tetapi kita yakin jika penerangan dibuat dengan jelas mereka akan faham dan bersama untuk penyatuan ini.
“Kita lakukan penyatuan ini demi Islam, penyatuan ini akan memberikan kelebihan kepada kita jika kita bersatu dan berpegang teguh kepada tali Allah SWT,” katanya ketika membahaskan ucaptama Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat pada Muktamar Dewan Pemuda Pas Pusat Ke-60 di Bukit Gambang Resort City (BGRC) di sini hari ini.
Nasrun berkata, selain ahli veteran Pas, ahli dan pimpinan dalam UMNO juga perlu diberikan pemahaman berhubung penyatuan itu.
“Perlu difahamkan, penyatuan kami (Pas) adalah jelas iaitu untuk mempertahankan agama Allah SWT iaitu Islam, selain itu kita juga akan mempertahankan orang Melayu, bahasa Melayu dan juga raja-raja Melayu,” jelasnya.
Beliau dalam pada itu meminta ahli Pas supaya memastikan matlamat penyatuan ummah antara parti berkenaan dan UMNO benar-benar ikhlas kerana Allah SWT.
“Jangan ada dalam diri kita hendak kepada pangkat, jawatan dan sebagainya. Ini akan mencacatkan usaha untuk kita bersatu,” katanya. – UTUSAN ONLINE











