JAKARTA 19 Jun – Tiada siapa menyangka di sebalik status-nya sebagai orang kurang upaya (OKU), insan istimewa ini mampu berdikari mencari nafkah demi menyara lima orang anaknya dengan hanya menjual belon.
Setu dari Gempolan, Jatiyoso, Karanganyar, di sini yang cacat fizikal tidak menjadikan kekurangannya itu sebagai halangan untuk terus menyara keluarganya.
Video menyayat hati yang memaparkan Setu, 50, merangkak sambil menjual belon menjadi tular di Instagram selepas dimuat naik oleh seorang pemilik akaun bernama @ thoryc.id, Sabtu lalu.
“Gambar ‘perjuangan’ Setu ini memberikan pengajaran yang sangat bernilai kepada semua. “Kita tidak seharusnya berputus asa dalam apa jua keadaan terutamanya untuk mendapatkan rezeki halal. Semoga setiap titik peluh Setu diberi berkat dan restu,” kata pemilik akaun itu.
Sejurus dimuat naik, gambar itu mendapat reaksi yang luar biasa daripada warganet, sehingga sekarang gambar itu mendapat lebih daripada 4,000 tanda ‘suka’ dan ratusan komen netizen.
Liputan6 melaporkan, video itu telah ditonton lebih 10,000 orang.
“Pak…hati saya hancur dan saya merasa malu dengan diri saya sendiri ketika melihat Pak mengais rezeki dalam keadaan ini, namun tetap tetap tersenyum,” kata @alfirqatunnajiyah, meninggalkan komen di gambar itu. –AGENSI











