Kunyit hitam kaya khasiat - Utusan Malaysia

Kunyit hitam kaya khasiat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kita biasa menggunakan kunyit sebagai penyedap rasa dalam masakan.

Namun, tidak ramai mengambil tahu khasiat sebenar kunyit selain fungsinya menyedapkan makanan.

Kunyit merupakan herba popular yang menjadi kegemaran dalam pelbagai masakan, tetapi ia merujuk kepada kunyit biasa. Ini berbeza dengan satu lagi spesies kunyit yang dinamakan kunyit hitam.

Kunyit hitam atau nama saintifiknya Kaempferia parviflora merupakan tumbuhan herba yang semakin popular di negara ini kerana khasiatnya kepada kesihatan manusia.

Seperti kunyit biasa, kunyit hitam telah lama digunakan oleh masyarakat tempatan secara tradisional.

Malah, ada yang mendakwa ia membantu mengatasi masalah kesihatan terutama berkaitan kanser, meningkatkan tenaga dan ubat kuat (viagra semula jadi), saraf dan membina otot.

Banyak penerbitan jurnal antarabangsa juga memperakui bahawa kunyit hitam mempunyai 1,001 khasiat termasuk berpotensi dalam membantu mengawal kencing manis, mencegah atau merawat penyakit otot, memperbaiki fungsi otot serta mengawal berat badan. Itu semua seperti yang didakwa.

Menyedari khasiat dan manfaat kepada kesihatan manusia, pasukan penyelidik dari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang diketuai oleh Dr. Zuraida Ab. Rahman menjalankan kajian terhadap tumbuhan herba tersebut.

Beliau merupakan Pegawai Penyelidik Prinsipal dari Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi berkata, kajian pembangunan produk R&D kumpulan penyelidik dari MARDI dengan kerjasama Syarikat Black G Sdn. Bhd. berjaya menghasilkan produk daripada kunyit hitam.

Produk ini telah dipasarkan dengan jenama Black G Nutrima oleh MARDI.

Menurut Zuraida, daripada kajian pembangunan produk di MARDI, bahan aktif yang bernilai tinggi iaitu methoxyflavone merupakan komponen utama yang terdapat dalam kunyit hitam. Bahan aktif yang paling tinggi adalah 5,7-dimethoxyflavone telah dijadikan sebagai standard marker iaitu penanda dalam setiap penghasilan produk.

Ini kata beliau, bertujuan memastikan produk yang dihasilkan adalah berkualiti dengan bahan aktif yang stabil dan mengikut standard yang ditetapkan.

“Kestabilan produk juga dijaga dengan memastikan kehadiran methoxyflavone pada dos yang selamat dan berkesan,” ujarnya.

Di samping itu, produk yang dihasilkan juga bebas daripada mikroorganisme dan logam berat atau berada pada paras yang selamat dan dibenarkan oleh Pertubuhan Pertanian dan Makanan (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Bahan aktif methoxyflavon yang terdapat dalam kunyit hitam bertindak dalam tubuh manusia bagi membantu, merawat dan memulihkan pelbagai penyakit.

Dengan itu, berdasarkan kajian sangat ditekankan bahawa produk standardized dengan kehadiran bahan aktif yang optimum memainkan peranan yang sangat penting bagi menjamin keberkesanan dan keselamatan sesuatu produk yang dihasilkan.

Hasil daripada R&D dan inovasi, produk yang berasaskan kunyit hitam ini telah menerima banyak anugerah.

Antaranya pengiktirafan daripada Pameran Reka Cipta

Antarabangsa (SIIF) 2018,

Pameran Teknologi Inogasi dan Reka Cipta Antarabangsa (ITEX) 2018 dan Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) dan MSTE 2017 (Mardi Science and Technology Exhibition).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×