MENYEBUT nama jutawan kosmetik ini sahaja sudah terbayang kontroversi yang melanda kehidupannya. Malah ketika ini, selebriti laman sosial ini turut menjadi perhatian dek keberanian berkongsi masalah depresi dialami dirinya.
Baru-baru ini Safiey Ilias mengejutkan banyak pihak apabila memuat naik status menimbulkan banyak tanda tanya tersirat, terutamanya melibatkan isu kematian, kecewa dengan hidup dan sebagainya dalam media sosial.
Pancaindera berpeluang mendapatkan komen dan jawapannya. Jom kita dengar luahan serta apa yang terbuku di hati anak kelahiran Lanchang, Pahang ini.
Pancaindera: Pernah satu ketika Safiey sudah melangkah sebelah kaki untuk berhijrah, kenapa u-turn semula? Adakah semata-mata sebagai strategi pemasaran?
Safiey Ilias: Banyak sangat faktor mempengaruhi ketika itu, antaranya masyarakat dan media sosial. Tapi saya tidak pernah menyalahkan mana-mana pihak. Bagi saya mungkin itu ujian.
Saya berhijrah pada April 2016. Namun ada segelintir pihak mengecam saya, kononnya saya mempergunakan agama dan hijrah sebagai strategi pemasaran produk saya.
Memang saya berhasrat untuk berhenti berniaga pada Mei 2016. Ketika itu saya memang tak mahu ambil tahu apa-apa kerana ingin fokus kepada penghijrahan.
Saya ikut program dianjurkan golongan tabligh. Bagi saya ketika itu duit bukan lagi keutamaan. Tetapi bila hendak berubah ada pula yang kata saya jadi penunggang agama.
Untuk pengetahuan, empayar bisnes saya sudah cukup berkembang ketika itu walaupun saya tidak perlu bertungkus lumus lagi. Saya menjalankan bisnes ini ketika saya berusia 16 tahun lagi. Ketika usia 19 tahun saya sudah bergelar jutawan.
Namun niat baik saya disalah erti. Masyarakat menghukum saya. Empat bulan saya menyendiri. Makan tak terurus, berjumpa dengan sesiapa pun saya tak mahu, bingung dan berasa malas dan letih.
Akhirnya keluarga bawa saya jumpa pakar psikaitari akhirnya saya di diagnos mengidap anxiety, major depression disorder, borderline personality disorder, bipolar disorder dan perlu bergantung pada ubat.
Ada sumber mengatakan Safiey akan berubah jika dapat bimbingan dari individu tertentu contohnya seperti Ustaz Ebit Liew, benarkah?
Tipulah kalau dapat berubah secara total. Tapi pendekatan yang digunakan UEL cukup bagus kerana penuh dengan adab, kasih sayang dan berhemah. Saya tidaklah tertumpu kepada UEL sahaja, sesiapa pun boleh, waima orang itu bukan ustaz atau ulama sekalipun. Tidak salah untuk membimbing saya menjadi lebih baik. Namun bimbingan itu perlulah berterusan jangan sekerat jalan. Saya cakap berdasarkan pengalaman sendiri. Walaupun saya begini, namun saya sangat memahami ilmu agama.
Tidak rasa tertekankah bila ramai warganet sering menghentam dan mempersendakan Safiey dalam media sosial?
Tipulah jika tidak tertekan. Tidak ada orang dilahirkan untuk menjadi bahan makian dan jenaka . Tapi saya ambil positif. Orang hentam maksudnya mereka sayang. Orang persendakan sebab mungkin mereka ambil berat pasal kita. Saya rasa mungkin lagi tertekan jika saya muat turun video/status dalam media sosial tetapi tak ada seorang pun yang komen dan like.
Benarkah Safiey menayang kemewahan gara-gara ingin bersaing dengan pengusaha kosmetik lain, benarkah?
“Dulu sebelum berjaya, saya selalu lihat usahawan-usahawan lain. Cara hidup mereka, aset mereka dan macam-macam lagilah. Ketika itu sebagai orang biasa saya rasa amat mustahil boleh jadi seperti mereka. Namun siapa sangka usaha saya membuahkan kejayaan. Jadi sekarang saya sudah jadi pesaing mereka. Takkan kita nak tengok pesaing kalahkan kita, jadi kita bersainglah secara sihat.
‘I Just Want To Die’ status Safiey di media sosial baru-baru ini. Kenapa?
“Saya ada masalah kesihatan. Saya cuba untuk memulakan hidup seperti orang normal tanpa pengambilan ubat. Sebab ubat itu buat saya jadi lemau, biul, pelupa dan banyak kesan sampingan lain. Tapi lepas tiga minggu saya berhenti ia jadi lebih teruk . Fikiran berkecamuk, berpeluh, sakit perut sehingga nak tidur pun tak boleh.
Paling ketara, saya kurang minat pada apa yang selalu dilakukan. Doktor pernah beritahu ada perbezaan antara tekanan, stress dan murung.
Stress paling lama pun beberapa hari saja, tapi berbeza dengan kemurungan, hilang minat pada segala aktiviti harian.
“Ada ketikanya kurang makan dan terlebih makan, tidur pun sama, ada ketikanya kurang, ada ketikanya terlebih. Sampai tak mandi berhari-hari. Simptom ini biasanya boleh berlarutan selama dua atau tiga minggu.
Jadi bila saya sedar keadaan diri waktu itu, saya terus jumpa doktor semula. Doktor sarankan ambil ubat semula dan tak boleh terus berhenti.
Harapan Safiey untuk hari mendatang?
Saya berharap sangat segalanya akan dipermudahkan. Jika satu hari saya sihat memang saya nak sangat bantu orang lain di luar sana yang ada masalah seperti saya. Saya tahu sakitnya macam mana.
Di tambah pula dengan masyarakat yang tidak memahami. Mereka anggap kita pura-pura sakit kemudian beri idea yang bukan-bukan. Saya sedih bila melihat pesakit seperti saya ada yang bersembunyi sebab tak nak dilabel ‘gila’, sedangkan mereka bertarung dengan penyakit ini . Saya harap sangat mereka ‘keluar’ dan dapatkan rawatan. – Mingguan Malaysia










