KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih skuad tenis negara, S. Selvarajoo optimis, barisan pemain muda negara mampu melakar kecemerlangan dalam kejohanan tenis berpasukan wanita Piala Fed Zon Asia/Oceania Kumpulan 2 2019 yang akan membuka tirai di Pusat Tenis Nasional, di sini, esok.
Beliau berkata, Uzbekistan adalah pasukan pilihan untuk merangkul kejuaraan dalam kejohanan empat hari itu kerana mereka pilihan utama tetapi beliau menaruh harapan bahawa anak-aak buahnya akan menyerlah apabila beraksi di gelanggang sendiri untuk menduduki senarai empat pasukan teratas.
“Uzbekistan mempunyai lima pemain dalam ranking 500 teratas dunia, tetapi kami mempunyai sedikit kelebihan berbanding Turkmenistan kerana kami mengatasi kedudukan mereka dalam kejohanan ini. Pastinya, kami menyandarkan harapan kepada Jawairiah (Noordin) dan Sara (Alisha Nayar) untuk mengutip mata kerana mereka mempunyai pengalaman, “ katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Berkongsi pandangan sama adalah Jawairiah, 29, yang berharap dapat menemui rentak permainannya setelah tidak beraksi secara kompetitif selama lebih setahun susulan kecederaan lutut yang dialami sebelum bermulanya temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Anak jati Pulau Pinang itu yang kini berkhidmat sebagai jurulatih sepenuh masa di sebuah kelab swasta di negeri kelahirannya, mengakui peluang Malaysia untuk layak ke final adalah sukar memandangkan mereka perlu berdepan Uzbekistan yang mempunyai ramai pemain terbaik dunia.
Dia bagaimanapun optimis rakan sepasukannya, terutama pemain muda mampu menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk mencipta kejutan ke atas pasukan yang berada pada ranking lebih baik daripada Malaysia.
Saingan kumpulan B menyaksikan pertarungan empat penjuru melibatkan pasukan Hong Kong, New Zealand, Pakistan dan Bangladesh.
Berdasarkan format kejohanan, hanya juara akan layak beraksi dalam Kumpulan I pada edisi 2020 Piala Fed. Taiwan berjaya menempah tiket ke Kumpulan I pada tahun depan setelah menjuarai saingan pertama di Tajikistan pada 12-15 Jun lepas.
Pencapaian terbaik Malaysia adalah menduduki tangga ketujuh dalam Kumpulan I pada 1996.
Kejohanan Piala Fed yang sebelum ini dikenali sebagai Piala Persekutuan merupakan kejohanan berpasukan wanita yang diadakan sejak 1963 bagi meraikan ulangtahun ke-50 Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF). – BERNAMA











