KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) belum menerima pemakluman secara ‘hitam putih’ berhubung peletakan jawatan Bibi Ramjani Ilias Khan sebagai presiden badan induk itu.
Timbalan Presiden KAFA, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, beliau hanya mengetahui mengenai perkara tersebut selepas ia tular dalam media sosial.
“Setakat ini tiada surat bertulis yang diberikan oleh presiden kepada urusetia KAFA bagi memaklumkan perkara tersebut.
“Biasanya perkara ini (peletakan jawatan) perlu dilakukan secara rasmi (bertulis) kepada kami,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Usahawan batik itu mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Presiden KAFA berkuatkuasa serta merta menerusi laman sosial facebook miliknya hari ini.
Bibi Ramjani dipilih untuk menerajui KAFA bagi penggal 2018-2021 menerusi Kongres Tahunan KAFA kali ke-63 pada 17 September 2017.
Afandi memberitahu, sekiranya menerima surat rasmi berhubung perletakkan jawatan itu satu mesyuarat Exco akan dipanggil bagi membincangkan perkara tersebut.
Katanya, setakat ini Exco KAFA tidak dapat membuat pengesahan berhubung berita tersebut. – UTUSAN ONLINE











