Insiden Kuala Koh jadi pengajaran pentingnya suntikan vaksin - Utusan Malaysia

Insiden Kuala Koh jadi pengajaran pentingnya suntikan vaksin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH – Insiden yang menimpa Orang Asli suku kaum Batek di Kuala Koh, Gua Musang yang mengakibatkan kematian disebabkan demam campak perlu dijadikan pengajaran tentang betapa pentingnya mengambil suntikan vaksin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy berkata, kejadian itu juga menunjukkan tahap kesedaran dalam kalangan komuniti Orang Asli mengenai suntikan imunisasi masih berada pada tahap yang rendah.

Justeru itu katanya, usaha berterusan perlu dilakukan oleh kerajaan bagi mendampingi golongan berkenaan untuk memujuk mereka mendapatkan suntikan imunisasi sekali gus memastikan komuniti itu tidak ketinggalan dalam aspek kesihatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya berharap masyarakat Orang Asli di negara ini dapat lebih mengambil perhatian terhadap kesihatan setelah apa yang melanda Kuala Koh.

“Ini adalah pengajaran kepada kita semua dan kerajaan sendiri akan mengambil usaha berterusan untuk mendampingi golongan ini supaya mereka dapat perhatian dari segi kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Pemimpin Bersama Masyarakat Orang Asli Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderiang yang dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di sini hari ini.

Menurut Waytha Moorthy, antara sebab yang dikenal pasti sebagai punca kesedaran pengambilan suntikan vaksin dalam komuniti itu rendah adalah disebabkan mereka tidak mahu menerima atau tiada pengetahuan secukupnya serta kesukaran untuk berjumpa ekoran cara hidup mereka yang berpindah randah.

Katanya, apa yang berlaku terhadap Orang Asli suku Batek itu tidak seharusnya berlaku dan sebagai menteri bertanggungjawab kepada komuniti tersebut, kerjasama antara agensi kerajaan lain terutama Kementerian Kesihatan akan dijalankan untuk menyakinkan golongan itu tentang kepentingan suntikan vaksin.

“Masyarakat Orang Asli suku Batek di Kelantan ini adalah mereka yang sering berpindah randah dan daripada data yang diterima, kurang daripada 70 peratus yang mengambil suntikan dos pertama vaksin Measles-Mumps-Rubella (MMR) dan 30 peratus bagi suntikan dos kedua.

“Ini menunjukkan kesedaran dalam kalangan Orang Asli semakin kurang, oleh itu kerajaan akan mempergiatkan usaja memujuk mereka untuk mengambil suntikan imunsiasi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini