KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) mencadangkan pengenalan caj perkhidmatan penumpang (PSC) ‘transfer’ atau pemindahan sebanyak RM3 bagi domestik dan RM17 untuk laluan antarabangsa.
Menurut Mavcom, PSC pemindahan domestik dikenakan kepada penumpang yang dijadual berlepas dari destinasi domestik ke satu lagi destinasi domestik (dalam Malaysia), bagi tempoh sebilangan jam tiba di lapangan terbang pemindahan.
Katanya, PSC pemindahan antarabangsa boleh dikenakan kepada penumpang yang dijadual berlepas dari mana-mana lapangan terbang di Malaysia ke destinasi antarabangsa lain (termasuk domestik untuk pemindahan antarabangsa), dalam sebilangan jam tiba di lapangan terbang pemindahan.
“Dalam analisis ini, suruhanjaya menganggap PSC pemindahan dikenakan buat perjalanan pemindahan yang mana penerbangan dijadual berlepas tempoh 24 jam selepas tiba di lapangan terbang pemindahan.
“PSC pemindahan biasanya digunakan di lapangan terbang hab serantau dan global. Sebagai contoh, Lapangan Terbang Changi mengenakan PSC pemindahan SG$6 (RM18.27) bagi setiap penumpang berlepas,” katanya dalam kertas rundingan terbaharunya mengenai caj penerbangan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











