JOHOR BAHRU – Seramai empat lelaki maut manakala seorang hilang penglihatan selepas disyaki meminum arak mengandungi bahan kimia beracun jenis metanol dalam kejadian di negeri ini awal pagi hari ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, mangsa yang meninggal terdiri daripada masing-masing seorang lelaki warga tempatan, India, Nepal dan Pakistan.
Menurutnya, mangsa yang cedera iaitu buta mata pula merupakan warga tempatan dan kesemua mangsa berusia antara 30 hingga 36 tahun.
“Polis Johor mengesahkan hari ini (18 Jun) terdapat empat kes kematian dan satu kes cedera parah iaitu buta mata di beberapa daerah berasingan di negeri ini akibat meminum samsu haram yang mengandungi bahan kimia beracun jenis metanol.
“Siasatan awal mendapati mangsa meminum arak jenis Miludeer yang mengandungi metanol yang dibeli di pasaran tempatan yang disyaki diseludup secara haram,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Mohd. Khalil berkata, bedah siasat akan dijalankan pada hari ini ke atas semua mangsa yang meninggal dunia untuk mengetahui punca kematian manakala sampel minuman dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.
Menurutnya, susulan kejadian ini, pihak polis mengenal pasti beberapa premis menjual arak haram di beberapa kawasan sekitar daerah ini.
Jelasnya, setakat ini, seramai sembilan individu ditahan terdiri daripada empat warga tempatan dan lima lelaki warga Indonesia berusia 25 hingga 44 tahun.
Beliau berkata, mereka ditahan di kawasan Johor Bahru Selatan, Seri Alam dan Kulai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 304b dan 326 Kanun Keseksaan serta Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
“Pihak polis turut merampas sejumlah botol dan tin arak yang dipercayai diseludup masuk tanpa membayar duti kastam,” katanya.- K! ONLINE











