KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia ditutup tinggi pada Selasa, disokong oleh pembelian saham berwajaran tinggi dan mewah terpilih, terutama kaunter telekomunikasi, perladangan serta pengangkutan dan logistik.
Bagaimanapun, keseluruhan pasaran masih berhati-hati dan pelabur memantau perkembangan mesyuarat dasar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) selama dua hari mulai hari ini.
“Pelabur menjangkakan Fed mengurangkan kadar faedah seawal-awalnya pada Julai, disebabkan kelembapan ekonomi AS akibat ketidaktentuan berkaitan perdagangan,” kata peniaga.
Beliau berkata sekarang adalah masa terbaik bagi para pelabur untuk mendapatkan saham nilai dan saham bersifat bertahan.
Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 14.36 mata kepada 1,652.76 daripada 1,638.18 ketika ditutup pada Isnin.
Indeks barometer itu, yang dibuka 1.74 mata lebih rendah kepada 1,636.66 pagi ini, bergerak antara 1,636.18 dan 1,652.76 sepanjang dagangan hari ini.
Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 428 berbanding 357, manakala 386 kaunter tidak berubah, 697 kaunter tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 2.03 bilion unit bernilai RM1.72 bilion daripada 1.62 bilion unit bernilai RM1.43 bilion yang dicatatkan pada Isnin.
Axiata, yang mempunyai rancangan penggabungan dengan Telenor Group dari Norway, menyaksikan sahamnya melonjak 24 sen kepada RM4.95 sementara itu Sime Darby Plantation naik 18 sen kepada RM4.82, MISC meningkat 23 sen kepada RM7.20 dan Digi menokok 14 sen kepada RM4.95.
Pada bulan lepas, Axiata mengumumkan bahawa ia berbincang dengan Telenor Group untuk menggabungkan operasi mereka di Asia, termasuk pelan untuk menggabungkan anak syarikat masing-masing, Celcom Axiata Bhd dan Digi Com Bhd, menjadi pengendali mudah alih terbesar di Malaysia.
Bursa tempatan tidak berubah semasa dibuka pada Selasa dan kemudian menunjukkan prestasi bercampur-campur dengan pelabur mengamalkan sikap tunggu dan lihat menjelang mesyuarat Fed.
Selain Fed, bursa global juga akan mengalami turun naik menjelang dua mesyuarat dasar lain — oleh Bank of England dan Bank of Japan. – BERNAMA











