Hanya 13 murid Orang Asli Sungai Berua ke sekolah - Utusan Malaysia

Hanya 13 murid Orang Asli Sungai Berua ke sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU – Hampir 88 peratus murid Orang Asli di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Berua di Hulu Terengganu tidak hadir ke sekolah hari ini berikutan terpaksa berpindah sementara ke kampung berdekatan.

Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin berkata, tinjauan mendapati hanya 13 daripada keseluruhan 109 murid Orang Asli itu yang bersekolah seperti biasa hari ini.

Beliau difahamkan, perpindahan lebih 150 Orang Asli di perkampungan Sungai Berua ke Kampung Gerdong itu bermula sejak dua minggu lalu berikutan kedatangan beberapa Orang Asli dari Kampung Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan ke situ susulan kejadian kluster jangkitan saluran pernafasan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagaimanapun, Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Terengganu dan Jabatan Kesihatan Negeri masih dalam proses memujuk mereka untuk pulang semula ke Sungai Berua bagi memastikan pendidikan anak-anak tidak tercicir,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Shafruddin, terdapat seramai 23 murid calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2019 di SK Sungai Berua dan hanya tujuh daripadanya yang hadir pada minggu ini, namun sesi pembelajaran masih tetap diteruskan.

Katanya, kesemua murid yang hadir diberikan penutup mulut dan hidung sebagai langkah pencegahan terhadap risiko jangkitan kesihatan, malah pengisian dalam sesi perhimpunan pagi tadi turut mengingatkan mereka agar prihatin dengan kebersihan diri dan kawasan sekitar.

“Pengurusan sekolah juga bekerjasama rapat dengan doktor dari Jabatan Kesihatan Negeri untuk memantau kesihatan murid yang datang ke sekolah di samping mengadakan ceramah kesihatan,” katanya.

Berdasarkan rekod, seramai 600 Orang Asli menetap di perkampungan Sungai Berua dengan 109 ketua isi rumah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini