TUMPAT – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memastikan setiap agensi penguat kuasa yang ditugaskan mengawal sempadan negara menerima garis panduan jelas berkaitan pengurusan kes-kes penyeludupan barang kawalan.
Timbalan Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Rosli Ahmad berkata, biarpun kawalan sempadan negara kini dibuat secara bergilir-gilir, kerjasama pihak kementerian dengan setiap agensi yang diberikan tugas tersebut sentiasa diperhebat.
Kata beliau, perkara sama dilakukan pihaknya dengan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara yang mengambil alih kawalan sempadan negeri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejak 20 April lalu.
“Hari ini, satu perjumpaan pihak kementerian dengan Batalion 7 PGA diadakan bagi membincang hala tuju kerjasama dan berkongsi peranan serta peruntukan undang-undang masing-masing dalam melaksanakan penguatkuasaan.
“KPDNHEP juga menyerahkan Buku Garis Panduan Penerimaan Kes Daripada Agensi Luar kepads pihak PGA untuk melancarkan lagi operasi bersepadu kita dengan pihak mereka,” katanya dalam sidang akhbar di Markas Pasukan Polis Marin, Pengkalan Kubor, di sini hari in.
Terdahulu, beliau dan rombongan KPDNHEP dibawa pihak Batalion 7 PGA menjalankan pemantauan awal di beberapa pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok bagi melihat sendiri situasi sebenar di situ.
Yang turut hadir, Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA, Suprintenden Azhari Nusi dan Pengarah KDNHEP negeri, Adnan Abd. Rahman.
PGA Briged Tenggara kini bertugas mengawal sempadan Kelantan dengan pasukan Batalion 7, Batalion 8 dan Batalion 9 akan menghantar anggotanya secara bergilir-gilir pada setiap bulan.
Mengulas lanjut, Rosli berkata, tugas penguatkuasaan di Kelantan bukan mudah, lebih-lebih lagi kawasan negeri ini yang bersempadan dengan Thailand adalah sejauh 191 kilometer dan hanya dipisahkan Sungai Golok yang mempunyai purata kelebaran lima meter.
Katanya, pihaknya turut memandang serius kewujudan ratusan laluan tikus yang digunakan para penyeludup dan perkara itu akan dibincangkan lebih lanjut dalam mesyuarat di peringkat kementerian bagi mencari langkah terbaik bagi menanganinya dengan lebih berkesan.
Dalam perkembangan berkaitan, Rosli memberitahu, sepanjang enam bulan pertama tahun ini, kerjasama pihaknya dengan pelbagai agensi kawalan sempada berjaya menyelesaikan 42 kes berkaitan penyeludupan barang kawalan dengan nilai rampasan RM225,176.62.
Daripada jumlah itu, Pasukan Polis Marin (PPM) menyelesaikan 22 kes, PGA (10 kes), ATM (1 kes), Aksem (2 kes), polis (6 kes) dan kastam (1 kes). – UTUSAN ONLINE











