PUTRAJAYA – Syarikat Alam Flora Sdn. Bhd. masih menunggu kelulusan daripada kerajaan bagi memulakan operasi di Kelantan dan Terengganu.
Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Datuk Mohd. Zain Hassan berkata, pihaknya sedia beroperasi di kedua-dua negeri berkenaan sebaik mendapat kelulusan daripada pihak kerajaan.
Jelasnya, ketika ini perbincangan diketuai oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara dengan pihak-pihak terlibat di peringkat kerajaan Pusat dan negeri.
“Kita tunggu kelulusan, masuk (beroperasi) bila kerajaan buat kelulusan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di majlis Rumah Terbuka Warna-warni Aidilfitri Alam Flora di sebuah hotel di sini hari ini.
Turut hadir Pengurus Besar Operasi, Darwishah Osman.
Menurut Mohd. Zain, ketika ini Alam Flora beroperasi di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang termasuk Pulau Tioman yang baharu bermula Mac lalu.
Beliau berkata, kemasukan Alam Flora di Pulau Tioman turut memberi peluang pekerjaan kepada penduduk pulau berkenaan yang ada berulang-alik ke tanah besar untuk bekerja.
Mengenai pembuangan sisa pepejal sepanjang Ramadan lalu, beliau berkata, berlaku trend penurunan hasil kesedaran masyarakat yang semakin meningkat terhadap kitar semula berikutan yang dijalankan pihaknya.
Beliau turut memaklumkan kejayaan projek rintis tong kitar semula dengan sistem keselamatan di sini yang dijalankan dengan kerjasama Petronas sejak awal tahun ini.
Di bawah projek itu, orang ramai boleh mengumpul mata ganjaran setiap kali mereka membuang bahan kitar semula ke dalam tong-tong berkenaan yang ketika ini ditempatkan di Presint 8 dan 11.
Jelas Mohd. Zain, pihak berhasrat mwngembangkan pelaksanaan projek itu ke ibu negara pada tahun depan.
Dalam pada itu katanya, penempatan semula Bazar Ramadan di Jalan Tunku Abdul Rahman ke Jalan Raja yang lebih tersusun, turut membantu syarikat itu dalam menguruskan pembuangan sisa pepejal. – UTUSAN ONLINE











