JOHOR BAHRU – Menghidap kanser usus tahap tiga, namun ia tidak menjadi penghalang buat seorang warga emas, untuk kekal positif dan meneruskan kehidupan seperti biasa.
Ismail Shadan, 73, berkata dia yang menghidap kanser usus besar sentiasa berfikiran positif, walaupun pada mulanya menyangka hanya menghidap batu karang.
Pesara tentera itu turut menjelaskan walaupun kecewa, dia percaya kesihatannya akan merosot jika terlalu memikirkan mengenai penyakit itu yang dikesan semenjak hampir dua tahun lepas.
“Perasaan takut dan kecewa itu ada, tetapi bagi saya ia semua bergantung pada minta kita sendiri.
“Ramai orang kata kalau hidap kanser harapan untuk sembuh adalah nipis, tetapi saya percaya Allah yang berikan sakit dan dia juga yang akan menyembuhkan,” katanya kepada Bernama selepas menerima bantuan di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KPJ Pasir Gudang Specialist Hospital di sini, hari ini.
Majlis itu dirasmikan Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Pasir Gudang Specialist Hospital, Hazarul Azly Hamzah.
Menurut bapa kepada enam orang anak itu lagi, kata-kata semangat dan sokongan anak serta isterinya Hairani Abdul Kadir, 46, membuatkannya tidak pernah berputus asa.
“Anak-anak bagi semangat, selalu suruh saya jangan tinggal makan ubat. Selain terima rawatan di Hospital Sultan Ismail, saya juga ikhtiar dengan ubat-ubatan kampung. Saya percaya selagi kita berusaha, Allah akan permudahkan,” katanya.
Ismail merupakan antara dua pesakit kanser yang menerima sumbangan kerusi roda dan wang tunai.
Dalam majlis tersebut, tiga warga emas yang lain turut menerima sumbangan sama. – BERNAMA











