Polis tumpaskan dua sindiket pengedaran dadah - Utusan Malaysia

Polis tumpaskan dua sindiket pengedaran dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan dua sindiket dadah susulan penahanan 13 individu dan merampas sejumlah dadah kira-kira RM146,000 dalam operasi selama lima hari bermula Khamis lalu di sekitar ibu negara.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S. Shanmugamoorthy Chinniah berkata, kesemua suspek iaitu 10 lelaki dan dua wanita tempatan serta seorang lelaki warga India berusia 30 hingga 56 tahun itu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

Menurut Shanmugamoorthy, tangkapan sindiket pertama dilakukan pada Khamis melibatkan seorang lelaki berusia 56 tahun yang membawa satu paket dadah jenis heroin ditahan di Jalan Segambut, di sini pada pukul 11.30 pagi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Susulan penahanan lelaki itu, polis menahan enam lagi suspek di sekitar ibu negara pada Jumaat dan Sabtu serta merampas pelbagai jenis dadah serta wang tunai berjumlah RM79,000.

“Ujian saringan air kencing mendapati enam suspek positif dadah dan mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Sentul di sini hari ini.

Mengulas mengenai tangkapan sindiket kedua, Shanmugamoorthy berkata, lima lelaki dan seorang wanita ditahan di Medan Putra Business Centre di sini kira-kira 2 pagi Isnin (17 Jun).

“Pemeriksaan terhadap kenderaan milik seorang daripada suspek membawa kepada penemuan pelbagai jenis dadah seperti heroin, methamphetamine dan pil yaba bernilai RM22,300.

“Tiga suspek positif ujian saringan air kencing dan seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah,” katanya.

Shanmugamoorthy berkata, hasil siasatan mendapati kedua-dua kumpulan itu bergiat aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang sejak tiga bulan lalu.

“Polis percaya dadah yang dirampas adalah untuk diedarkan kepada lebih 7,000 penagih,” katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek direman tujuh hari bermula Jumaat (14 Jun) dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini