BATU GAJAH – Dua beradik lelaki warga Thailand ditangkap polis daerah Batu Gajah kerana disyaki terbabit dengan dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Toh Indra Wangsa Ahmad, Kampung Seri Mariah di sini hari ini.
Kedua-dua lelaki berusia 30 dan 23 tahun yang bekerja sebagai tukang masak itu positif dadah jenis methamphetamine menerusi ujian saringan air kencing yang dilakukan.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, serbuan yang dilakukan pada pukul 2.30 petang di rumah sewa suspek menemukan satu bekas plastik hijau ‘Doublemint’ yang di dalamnya berisi satu paket plastik lutsinar dadah methamphetamin seberat 0.30 gram.
Katanya, dadah tersebut dijumpai di atas lantai tempat kedua-dua suspek sedang duduk.
“Turut dijumpai di rumah tersebut ialah pas sempadan milik dua beradik itu yang didapati telah tinggal lebih masa di negara ini.
“Pemeriksaan mendapati lelaki berusia 23 tahun itu masuk ke negara ini pada 28 Mac lalu manakala abangnya pada 3 April. Kedua-duanya yang berasal dari Pattani, Thailand itu berada di negara ini untuk bekerja sebagai tukang masak,” katanya.
Menurut Ahmad Adnan, siasatan mendapati kedua-dua lelaki itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan reman terhadap mereka akan dipohon di mahkamah esok.
“Siasatan terhadap dua beradik ini dijalankan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal melebihi masa,” katanya.-UTUSAN ONLINE











