JAKARTA 17 Jun – Di Indonesia, individu penting bernama Sutopo Purwo Nugroho sudah tidak asing lagi dan sering muncul di dada-dada akhbar serta televisyen, baik tempatan mahupun antarabangsa, tiap kali negara ini berdepan sesuatu bencana.
Memberikan segala bentuk maklumat serta perincian mangsa korban, Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) itu bagaikan ‘bertugas 24 jam’ memandangkan Indonesia sering dilanda pelbagai bencana khususnya gempa bumi.
Kelmarin, Sutopo berlepas ke Guangzhou, China bagi mendapatkan rawatan bagi kanser paru-paru yang dihidapinya.
Tribunnews melaporkan, Sutopo yang sudah lama menderita akibat penyakit itu, kini mencapai tahap empat, yang meletakkan dirinya dalam keadaan membimbangkan.
Beliau yang berkongsi berita itu dalam akaun Instagram berkata, badannya semakin lemah selepas sel kanser itu tersebar ke tulang dan organ-organ yang lain.
“Selamat tinggal, hari ini saya berlepas ke Guangzhou, China, untuk mendapatkan rawatan kanser paru-paru yang kini sudah tersebar ke tulang dan organ-organ lain. Sangat menyakitkan,” katanya dalam Instagram sebelum berlepas di sini kelmarin.
Sutopo turut meminta orang ramai supaya mendoakan agar rawatannya itu berjaya.
Beliau yang terkenal sebagai orang paling penting ketika berlakunya bencana dan malapetaka di Indonesia itu turut memohon maaf.
“Jika ada kesalahan mohon dimaafkan. Sekali gus saya dimaafkan atas kesalahan dan dosa,” katanya.











