BARCELONA – Pelumba Repsol Honda, Jorge Lorenzo tampil memohon maaf selepas dia menjadi punca insiden perlanggaran melibatkan empat pelumba pada Grand Prix (GP) Barcelona di Litar Catalunya malam kelmarin.
Pada perlumbaan tersebut, pelumba Sepanyol itu melakukan kesilapan sehingga mengakibatkan tiga lagi pelumba termasuk penunggang Ducati, Andrea Dovizioso serta dua pelumba Monster Energy Yamaha, Valentino Rossi dan Maverick Vinales terjatuh dan gagal meneruskan perlumbaan.
Lorenzo berkata, dia memulakan perlumbaan dengan baik serta merasakan berpeluang untuk menamatkan aksi itu pada kelompok teratas, namun keyakinannya memakan diri apabila terjatuh di selekoh ke-10 seawal pusingan pertama.
“Saya memulakan perlumbaan dengan baik serta berjaya memintas beberapa pelumba untuk berada dalam kelompok hadapan. Ketika Maverick memperlahankan jentera, saya cuba ambil kesempatan untuk memintas tetapi ia nyata satu kesilapan.
“Selekoh itu sedikit mengelirukan tetapi secara keseluruhan ia merupakan salah saya. Mungkin saya terlalu teruja kerana semakin selesa dengan jentera sehingga menyebabkan saya mahu memecut lebih laju, namun terjatuh,” kata Lorenzo.
Pada masa sama, juara dunia MotoGP sebanyak tiga kali itu mengakui dia sudah menemui pasukan Ducati dan Yamaha untuk memohon maaf selain menegaskan, permohonan maaf tidak memadai memandangkan ketiga-tiga pelumba tersebut sedang bersaing merebut kejuaraan dunia.
“Kesilapan besar saya adalah sebabkan tiga pelumba lain turut terjatuh dan mereka sedang bersaing merebut kejuaraan musim ini. Selepas insiden itu, saya pergi ke garaj Ducati dan Yamaha untuk meminta maaf kepada mereka,” ujarnya. – Agensi











