Rang Undang-undang Sumber Air Kelantan 2019 lulus - Utusan Malaysia

Rang Undang-undang Sumber Air Kelantan 2019 lulus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini meluluskan Rang Undang-undang Sumber Air Kelantan 2019 bagi pengurusan sumber air bersepadu dan menjamin kelestariannya di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur dan Utiliti negeri, Datuk Azami Mohd Nor berkata, rang undang-undang tersebut digubal daripada draf yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan tetapi dengan beberapa pengubahsuaian.

Beliau berkata, pengenalan enakmen baharu ini adalah langkah proaktif kerajaan negeri memandangkan Rang Undang-undang Sumber Air Negara (RUU SAN) yang sedang digubal Kerajaan Persekutuan mempunyai beberapa isu yang tidak dipersetujui di peringkat negeri-negeri.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Satu (draf) rang undang-undang sumber air telah dikemukakan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Kelantan bertujuan menggalakkan keseragaman perundangan berkaitan sumber air di seluruh negara.

“Tujuan utama pelaksanaan rang undang-undang tersebut bagi membantu pengurusan sumber air lebih efektif dan memastikan jaminan kuantiti dan kualiti menerusi pendekatan Pengurusan Sumber Air Bersepadu (IWRM).

“Kerajaan Negeri melihat satu keperluan untuk mengadakan enakmen sumber air tersendiri bagi memelihara kesemua kepentingan kerajaan untuk kegunaan di negeri ini,” katanya semasa mencadangkan Rang Undang-undang Sumber Air Kelantan 2019 yang diluluskan tanpa bahas di Sidang DUN Kelantan di sini hari ini.

Sementara itu, Azami berkata, dua enakmen sedia ada iaitu Enakmen Parit dan Sungai 1935 dan Enakmen Bekalan Air 1995 juga perlu dipinda supaya seiring dengan rang undang-undang yang dicadangkan itu yang mempunyai 76 Fasal.

Katanya, kedua-dua enakmen itu tidak lagi mencukupi dan sesuai dengan keperluan semasa kerana ia tidak menerima pendekatan pengurusan air bersepadu yang menggalakkan penyelarasan pembangunan sumber air dan tanah serta sumber berkaitan.

“Enakmen baharu akan membolehkan pihak berkuasa menguruskan sumber air mengikut prinsip IWRM yang digunakan secara global.

“Kerajaan juga mahu perkasakan Jabatan Air negeri supaya mampu melaksanakan tugas berkaitan sumber air dengan lebih efektif dan berkesan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini