Semangat atasi kesakitan Quartararo - Utusan Malaysia

Semangat atasi kesakitan Quartararo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Kejayaan Fabio Quartararo menghadiahkan podium pertama buat pasukan dari Malaysia, Petronas Yamaha SRT dalam saingam MotoGP pada Grand Prix Motosikal Catalan, Sepanyol semalam cukup istimewa.

Pelumba muda Perancis tersebut bukan sahaja beraksi pada musim pertamanya dalam kelas perdana itu, malah berlumba dalam kesakitan kerana baru 12 minggu menjalani pembedahan di bahagian lengan.

Bermula dari petak pertama, Quartararo menamatkan perlumbaan di tangga kedua dengan masa 40 minit 33.835 saat untuk berada di belakang juara dunia, Marc Marquez dari pasukan Honda (40:31.175s). Pelumba Sepanyol, Danillo Petrucci dari Ducatti di tempat ketiga dengan 40:35.712s.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Lengan saya mula merasa sakit ketika berada pada pusingan terakhir, namun keinginan untuk menaiki podium mengatasi segalanya.

“Kami melakukan permulaan terbaik tahun ini dan saya hanya kehilangan dua kedudukan ketika permulaan. Kesilapan kecil pada selekoh keempat menyebabkan saya berada sedikit ke bahagian belakang.

“Namun pada akhirnya, saya berjaya menaiki podium selepas pertarungan yang agak sengit di hujung perlumbaan,” kata pelumba berusia 20 tahun itu.

Kejayaan tersebut adalah podium pertama dinaikinya sejak menyertai kelas perdana Mac lalu.

Sementara itu, pelumba MotoGP pertama Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah mewakili pasukan Red Bull KTM Tech 3 yang bermula dari petak terakhir dan rakan sepasukan Quartararo, Franco Morbidelli, masing-masing gagal menamatkan perlumbaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini