Syarikat pengeluar benih kaut untung, petani pula semakin tertekan - Utusan Malaysia

Syarikat pengeluar benih kaut untung, petani pula semakin tertekan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU – Kerajaan perlu mencari jalan menyelesaikan masalah pembekalan benih tidak berkualiti yang menjadi antara punca para petani gagal mendapatkan hasil tanaman yang baik.

Pesawah, Zamzuri Ishak, 35, berkata, masalah yang berlarutan sejak sekian lama itu perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum kerajaan bercadang membantu para petani meningkatkan hasil pendapatan mereka.

Katanya, setiap tahun, pelbagai masalah berbangkit seperti padi angin, kerosakan tanaman dan sebagainya berikutan kualiti benih yang dibekalkan itu tidak memuaskan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Petani terus tertekan dengan masalah ini, sedangkan syarikat pengeluar benih terus mengaut keuntungan. Selesaikan dulu masalah ini, jika ingin membantu para petani,” katanya.

Kelmarin, kerajaan mengenal pasti beberapa langkah untuk menangani kemiskinan golongan pesawah yang selama ini bergantung kepada pemberian subsidi.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, antara langkahnya adalah meningkatkan kaedah pertanian moden selain memperkenalkan tanaman kontan seperti sayuran dan buah-buahan bagi meningkatkan pendapatan mereka.

Kata beliau lagi, antara masalah dihadapi mereka ialah mempunyai keluasan sawah yang terlalu kecil untuk memberi perolehan pulangan yang baik dan tidak efisien dalam pengeluaran hasil pertanian.

Dalam perkembangan berkaitan, Zamzuri berkata, langkah menghentikan pemberian subsidi dilihat tidak berkesan dan bakal menyebabkan para petani terpaksa menanggung kos yang tinggi bagi mengusahakan tanaman.

Katanya, meskipun harga pembelian hasil keluaran petani ditingkatkan, namun ia masih tidak berbaloi khususnya melibatkan tanaman padi.

Jelasnya, selama ini, kerajaan memberikan subsidi benih, racun, baja dan pelbagai lagi, namun jika kesemua bantuan tersebut ditarik balik sekali gus bakal menyebabkan pesawah terpaksa mengeluarkan modal yang tinggi.

“Selain itu, jika pengilang membeli dengan harga yang tinggi, mereka juga terpaksa menaikkan harga yang akhirnya turut menyebabkan pengguna terbeban. Bagi saya, subsidi harus dikekalkan selain kerajaan perlu mencari kaedah lain bagi membantu meningkatkan hasil.

“Sekarang, kos untuk mengusahakan tanaman padi semakin meningkat. Jika subsidi ditarik balik, ia akan membebankan petani,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini