Cabaran getir menanti Abdul Hadi - Utusan Malaysia

Cabaran getir menanti Abdul Hadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKTAMAR Tahunan Pas kali Ke-65 pada 21 Jun ini bakal menyaksikan sekali lagi Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyampaikan ucapan dasar sebagai presiden parti itu yang disandang sejak 2005.

Sebelum itu bekas Menteri Besar Terengganu tersebut memangku jawatan berkenaan berikutan kematian Allahyarham Datuk Fadzil Noor pada 23 Jun 2002.

Abdul Hadi bersama Timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man disahkan menang tanpa bertanding bagi kedua-dua jawatan utama Pas tersebut. Tuan Ibrahim adalah timbalan keempat kepada Abdul Hadi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebelum ini jawatan nombor dua Pas itu pernah disandang oleh Datuk Hassan Syukri, Datuk Nasharudin Mat Isa dan Mohamad Sabu.

Berdasarkan rekod perjalanan politik beliau memimpin Pas, Abdul Hadi dianggap presiden parti itu yang menempuh cabaran paling getir dan penuh warna-warni.

Kini Abdul Hadi akan berhadapan dengan cabaran lebih hebat iaitu memastikan kerjasama dengan UMNO diperkukuhkan.

Walaupun pada mulanya, ada dalam kalangan pemimpin dan ahli Pas tidak senang dengan kerjasama tersebut kerana sudah lama bermusuh akibat fahaman politik.

Namun senario yang berlaku ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) telah memungkinkan usaha dilakukan bagi menyatu dua parti utama orang Melayu itu.

Setakat ini boleh dikatakan misi atau fasa pertama sudah berjaya melalui penyatuan hati kepemimpinan Pas yang diterajui Abdul Hadi dan kepemimpinan UMNO di bawah Datuk Seri Mohamad Hasan.

Bagaimanapun perjuangan masih belum selesai. Penyatuan antara kedua-dua parti Melayu tersebut perlu diperkukuhkan.

Justeru cabaran getir yang menanti Abdul Hadi ialah memastikan pesanan beliau baru-baru ini supaya kepemimpinan dan ahli Pas patuh kepada keputusan yang dibuat secara berjemaah benar-benar dihayati.

Usaha menyatukan UMNO dan Pas, bukan sekadar soal mencari atau mengukuhkan kuasa politik semata-mata sebaliknya ia adalah satu jihad seperti mana diperintahkan oleh Allah SWT .

Ini jelas melalui firman-Nya dalam surah ali-Imran ayat 103 yang bermaksud;“…Dan berpegang teguhlah kamu semua dengan tali Allah dan jangan kamu berpecah belah.”

Malah kalau kita menghayati ucapan-ucapan dasar Abdul Hadi sebelum ini beliau sering mengingatkan soal pentingnya umat Islam berjuang dan bersatu dengan memetik firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 110 yang bermaksud;
 “…Kamu merupakan sebaik-baik ummah yang diutuskan untuk menyerukan kebaikan dan mencegah kemungkaran serta beriman kepada Allah.”

Inilah peringatan yang tidak pernah putus-putus disebut oleh Abdul Hadi dalam ucapan beliau.

Biarpun Pas menempuh pelbagai suka dan duka dalam perjuangan politik bagi menegakkan perjuangan Islam demi kesejahteraan umat Islam keseluruhannya.

Oleh itu Abdul Hadi dengan dibantu oleh Tuan Ibrahim perlu memastikan kerjasama UMNO-Pas tidak akan terbengkalai di tengah jalan.

Dalam perbualan penulis dengan ramai orang Melayu termasuk ketika Aidilfitri baru-baru ini, tidak dapat dinafikan wujud satu sentimen kukuh dalam kalangan orang Melayu untuk melihat kedua-dua parti itu bersatu.

Bagaimanapun dalam soal menyatukan ummah ini tidak boleh ada kompromi. Kalau ada dalam kalangan jemaah sama ada di dalam UMNO atau Pas tidak bersetuju dengan kesepakatan yang dicapai mereka boleh memilih haluan sendiri.

Sebagai seorang ahli politik berpengalaman dan ulama, Abdul Hadi sudah pasti mempunyai strategi tersendiri bagi menghadapi cabaran ini.

Tetapi apa yang perlu diingatkan cabaran paling getir ialah pembahagian kerusi untuk bertanding dalam PRU-15 nanti.

Sekarang ini pun sudah ada cakap-cakap siapakah yang akan untung atau rugi apabila pembahagian dibuat.

Penulis yakin selagi ada kejujuran dan keikhlasan dalam kerjasama antara UMNO-Pas, tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan, apatah lagi melihat keakraban antara Abdul Hadi dan Mohamad.

Percayalah, ramai musuh sedang mengharapkan kerjasama kedua-dua parti tidak menjadi kenyataan kerana memahami ia boleh mendatangkan bencana politik kepada mereka, biarpun akan menguntungkan orang Melayu dan umat Islam keseluruhannya.

Semoga Abdul Hadi mampu menempuh cabaran getir ini.


Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini