Mazlan tidak hadir pertemuan Bersatu Johor dengan Sultan Ibrahim - Utusan Malaysia

Mazlan tidak hadir pertemuan Bersatu Johor dengan Sultan Ibrahim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, Mazlan Bujang dan hampir separuh daripada Ketua-ketua Bahagian Bersatu tidak hadir dalam pertemuan sempena Hari Raya Aidilfitri dengan Sultan Johor di Istana Pasir Pelangi di sini hari ini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa itu, ketidakhadiran beliau adalah kerana perlu menghadiri satu program di kawasannya yang sudah pun membuat temu janji lebih awal dan tidak mahu mengecewakan mereka.

“Saya sudah menyatakan kehadiran untuk hadir dalam program hari raya di DUN Puteri Wangsa. Selain itu saya tidak mendapat jemputan secara rasmi daripada pihak parti sebagai selaku Pengerusi Bersatu Johor.

“Saya hanya dimaklumkan akan ada pertemuan dengan Sultan Johor sempena Aidilfitri pada hari ini tetapi tidak menerima sebarang surat jemputan rasmi,” katanya ketika dihubungi Utusan online di sini sebentar tadi.

Hari ini Badan Perhubungan Bersatu Johor melakukan pertemuan dengan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Pasir Pelangi dengan diketuai Menteri Besar, Datuk Dr. Sahruddin Jamal yang juga bekas Setiausaha Bersatu Johor.

Majlis perjumpaan dan foto-foto sempena sambutan Aidilfitri itu turut dimuat naik dalam Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Kunjungan Bersatu negeri itu turut diiringi bekas Menteri Besar, Datuk Osman Sapian dan Ketua-ketua Bahagian Bersatu Johor.

Antara yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Tosrin Jarvanthi dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohd. Solihan Badri yang juga Setiausaha Bersatu Johor.

Mazlan memulakan tugasnya sebagai Pengerusi Bersatu Johor pada 25 Mei lalu selepas menyaksikan cubaan ketua bahagian dan wakil membabitkan 21 bahagian yang menghantar memorandum bantahan lantikan Mazlan kepada Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 7 Mei lalu tidak berjaya.

Mengulas lanjut, Mazlan mendakwa, hanya separuh daripada 26 ketua bahagian parti tersebut yang hadir dalam pertemuan dengan Sultan Ibrahim pada hari ini tetapi tidak menjelaskan sebab-sebabnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×