KUALA LUMPUR – Op Selamat 15 yang memasuki hari ke-11 semalam merekodkan penambahan 13 kematian akibat kemalangan jalan raya, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kematian meningkat kepada 189 orang.
Daripada jumlah ini, sebanyak lima kes lagi dicatatkan berbanding hari sebelumnya apabila 21 kemalangan maut direkodkan dengan jumlah keseluruhan 177 kes.
Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 13 kematian dicatatkan menjadikan angka korban keseluruhan setakat ini adalah 189 orang.
Ujarnya, Selangor terus mencatatkan jumlah korban paling ramai iaitu 33 orang diikuti Johor (28) ; Perak (18) ; Kedah (16) dan Pahang, Sarawak serta Sabah (14).
“Selain itu, di Kelantan mencatatkan 13 kematian diikuti Negeri Sembilan (9); Terengganu (8) Pulau Pinang (7); Kuala Lumpur (6); Melaka (5) manakala empat di Perlis.
“Sepanjang tempoh 11 hari ini juga, sebanyak 241,144 saman telah dikeluarkan menerusi 3,226 operasi yang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Asmawati memberitahu, sebanyak 501 kes pecah rumah dan premis dilaporkan di seluruh negara dengan 324 kejadian melibatkan kediaman.
Op Selamat 15 yang berlangsung dari 29 Mei hingga 12 Jun ini memberi tumpuan kepada enam kesalahan utama melibatkan memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit, memotong barisan, memandu laju dan tidak mematuhi lampu isyarat. -UTUSAN ONLINE











