Impak penangan watak cacat, alim - Utusan Malaysia

Impak penangan watak cacat, alim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dua bintang yang semakin bergemerlapan di arena seni ini boleh diibaratkan garam dan gula dalam masakan.

Pendek kata, biar kedua-duanya bukan penyandang watak utama dalam drama, namun Naim Daniel dan Raja Atiq mampu menjadi penyedap kepada jalan cerita sesebuah naskhah itu.

Bakat seni yang mengalir dalam pembuluh darah dua anak muda ini juga bukan calang-calang. Buktinya, Naim berjaya meniupkan roh pada watak Budi yang disandang menerusi drama Pia, manakala Raja Atiq pula begitu cemerlang membawakan watak Amirul dalam drama popular Nur dan Nur 2.

Memuatkan artikel berkaitan…

Hakikat yang barangkali ada yang terlepas pandang, kedua-duanya juga berbakat dalam bidang seni suara.

Maka molek benar, Sensasi Bintang ‘menyandingkan’ kedua-dua bintang muda ini menerusi lebaran kali ini.

Misi Naim

Tempoh 12 tahun bukan satu jangka masa yang pendek untuk seorang anak seni membina nama dalam persada industri hiburan tanah air.

Ironi, fasa lebih dari sedekad itulah yang terpaksa diharungi Naim.

Mengakui ia bukan satu perkara yang mudah untuk terus bertahan dalam industri, namun anak jati kelahiran Kuala Lumpur itu ada misi dan visi yang masih belum dilunaskan sebagai anak seni.

Meskipun mula membina nama dan bergelumang dalam kancah arena lakonan seawal usia 8 tahun menerusi drama bersiri Cucu Betong, namun suhu termometer anak muda berusia 22 tahun itu kian meledak selepas aktif menceburi karier nyanyian beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada masa sama, lakonannya yang berjiwa menerusi filem Bisik Pada Langit dan terbaharu Pia begitu meruntun jiwa penonton.

Ditanya mengenai bidang manakah yang menjadi dan perlu diberi keutamaan, Naim atau nama lengkapnya Muhammad Naim Daniel Baharin, menyatakan kedua-duanya berjalan serentak, namun muzik menjadi nadi utamanya buat masa ini.

“Setakat ini kerjaya lakonan masih berjalan seperti biasa, cuma saya lebih memberikan fokus kepada bidang muzik buat masa ini,” katanya sambil tersenyum.

Dedah Naim, dia juga pernah menolak lebih daripada 10 tawaran lakonan bagi memberi fokus kepada bidang seni suara.

Menurutnya, dia juga tidak pernah menyesal mahupun ralat apabila bertindak memperlahankan aktiviti lakonannya buat masa ini walaupun dirinya lebih dikenali sebagai pelakon ketika awal kemunculannya.

Respons positif

Ditebak mengenai respons para peminat terutama pendengar dan peminat muzik terhadap single ketiganya berjudul Sumpah, Naim benar-benar tidak menyangka lagu tersebut mendapat maklum balas yang begitu positif.

“Saya pun tidak menyangka sampai ke tahap ini. Sejak ia dilancarkan awal April lalu, Sumpah menerima reaksi dan respons yang cukup memberangsangkan.

“Syukur kepada Allah. Saya juga gembira dan terharu apabila lagu tersebut turut dipilih menjadi runut bunyi bagi drama bersiri Pia terbitan TV3 arahan Azman Yahaya yang menampilkan saya sebagai seorang penghidap cerebral palsy.

Tambah penuntut jurusan muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor itu, dia turut bersyukur kerana mendapat respons yang baik menerusi watak Budi, bergandingan dengan pelakon hebat Zara Zya dan Alif Satar.

Jelasnya, Pia adalah drama terbaik selepas lapan tahun tidak bekerjasama dengan pihak JS Pictures.

“Saya tidak menafikan watak Budi sedikit sebanyak membantu menaikkan dan meledakkan lagi nama saya pada ketika ini,” ujarnya yang menganggap ia sebagai satu rezeki buat dirinya.

Bercakap soal lebaran pada kali ini, Naim yang pernah tercalon bagi kategori Artis Baru Lelaki dan Pelakon Filem Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular 2017 itu memberitahu, dirinya menyambut lebaran di kampung halaman sebelah bapanya di Melaka.

“Acara membakar lemang boleh dikatakan satu tradisi wajib bagi keluarga kami. Daripada proses mencari buluh, mengisi beras pulut dan santan sampailah membakar, semuanya kami lakukan bersama. Kami jarang membeli lemang di luar melainkan benar-benar teringin,” ujarnya yang bekerja semula selepas seminggu bercuti.

Ledakan watak alim

Bagi Raja Atiq pula, namanya turut tidak terlepas meniti di bibir peminat drama Melayu tempatan tanpa mengira lapisan umur.

Mula menceburkan diri dalam bidang lakonan dua tahun lalu sebagai pelakon tambahan atau bahasa pasarnya pelakon pacak, Atiq tidak menyangka rezekinya dalam dunia lakonan berpanjangan sehingga ke hari ini.

Menurut Atiq atau nama lengkapnya Raja Muhammad Atiqullah Shah Raja Azman Shah, 19, dia mengakui berkat kesabarannya hampir dua tahun itu akhirnya terjawab apabila peluang untuk menjayakan drama popular, Nur dan Nur 2 berjaya menaikkan namanya.

Tidak dinafikan, disiplin dan mutu lakonan yang diberikan menerusi naskhah yang turut menggandingkannya dengan nama besar seperti Syafiq Kyle dan Amyra Rosli itu membuatkan nama Atiq pantas mengecapi populariti.

“Watak Amirul yang saya bawa amat meninggalkan kesan mendalam sepanjang kerjaya saya. Apatah lagi nama itu kini melekat sebagai nama panggilan dalam kalangan peminat dan saudara mara terdekat ke mana sahaja saya pergi,” ujarnya.

Watak mencabar

Jelas anak sulung daripada empat beradik itu, dia turut mengimpikan untuk membawa pelbagai watak mencabar sekali gus menjadi pelakon versatil suatu hari nanti.

“Saya tidak mahu dicop atau dilabelkan sebagai pemegang watak alim dan baik semata-mata. Saya turut mendambakan untuk menjayakan naskhah yang boleh mencabar keupayaan bakat lakonan yang saya ada.

“Lagipun lumrah bagi seseorang pelakon untuk bereksperimentasi dengan variasi watak demi kelangsungan kerjaya dalam industri seni,” katanya yang membuktikan lakonan hebatnya menerusi cerekarama yang berjudul Restu Ayah yang menggandingkannnya dengan Azhan Rani sebagai ayahnya.

Selain itu, dia juga bakal muncul dengan watak pelajar kolej menerusi naskhah Cinta Bukan Fairytale di samping pelakon Eyka Farhana.

Peminat

Berkongsi cerita mengenai lebaran Atiq pula, dia memberitahu meraikannya di kampung halaman sebelah bapanya di Kuala Kangsar dan Taiping, Perak selama beberapa hari sebelum kembali pulang ke ibu kota bagi meneruskan sesi penggambaran.

“Jika tahun lepas saya dan keluarga beraya di kampung halaman sebelah ibu di Bachok, Kelantan, tahun ini giliran di Perak pula,” katanya.

Ditebak mengenai perbezaan menyambut lebaran selepas bergelar sebagai selebriti, Atiq memberitahu banyak kelainan dan impak yang dirasainya seperti kunjungan peminat yang tidak pernah putus selama beberapa hari di kampung halamannya tahun lalu.

“Saya cukup teruja dan terkejut pada awalnya. Paling istimewa, peminat yang datang bukan sahaja sekitar Bachok, malah turut ada yang sanggup datang dari Pasir Puteh, Kelantan dan Kuala Besut, Terengganu,” ujarnya yang menggemari nasi impit dan rendang tiap kali tibanya Syawal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini