DALAM hidup, tak semua hal peribadi wajar dikongsi dengan orang sekeliling. Memadailah dengan keluarga atau yang rapat sahaja jika mahu membicarakan yang rahsia!
Itulah pendirian dua orang bintang terkenal Ziana Zain, 51 dan Fauziah Latiff, 48 yang tak seghairah kebanyakan orang sekarang menggunakan laman sosial untuk meluah perasaan susulan perceraian dengan bekas suami masing-masing.
“Ketika bercerai demi anak-anak dan diri ini sesudah sekian lama bersabar dengan tekanan dilalui. Sekarang saya dan dia (bekas suami Armin Zaharin) perlu menyelesaikan hal-hal lain selepas berpisah di mahkamah.
“Cukuplah perbicaraan antara kami dalam ruang yang sepatutnya. Tak perlu memberi komen dan sebagainya secara terbuka (publisiti meluas) untuk semua.
“Terima kasih, keluarga, peminat-peminat dan rakan media yang memahami dan terus memberi sokongan sepanjang saya berada dalam industri hiburan. Walaupun bergelar public figure nampaknya semua memahami saya memerlukan privasi bukan hanya untuk saya tapi menjaga perasaan anak-anak yang kian membesar.
“Itu sebabnya juga saya belum bersedia membawa anak-anak untuk sebarang publisiti. Yang jadi artis ialah saya, bukannya mereka,” katanya ibu kepada Muhammad Aiman, 20, Muhammad Ammar, 15 dan kembar Muhammad Ariel dan Siti Nur Kasih, 9.
Mahu menjalani kehidupan dengan tenang dan tabah demi anak-anak, Ziana enggan merasa terbeban dengan menggalas gelaran ibu tunggal seperti mana yang disangka oleh kebanyakan pihak.
“Semua ibu tunggal kena positif menjalani dugaan hidup. Kalau rasa diduga, ada lagi orang lain yang mungkin ujiannya lebih berat daripada kita. Saya yakin akan ada hikmah di depan menanti,” pesannya.
“Macam yang saya katakan sebelum ini, setelah menggalas status ini saya mahu move on, tak menoleh ke belakang memikirkan masa lalu. Saya juga tak nak melayan stres dan mahu menjalani kehidupan yang ceria dengan anak-anak,” katanya berterus terang.
Dua janda popular yang beraksi depan lensa Pancaindera sempena lebaran tahun ini juga ada jawapan tentang harapan peminat yang mahu mereka mencari pengganti bekas suami.
“Buat waktu ini saya tak fikirkan mengenainya. Diutamakan tentulah anak-anak. Merekalah permata hati. Saya selalu berdoa mahu melihat mereka berjaya dalam hidup, baik di dunia sampai ke akhirat. Malah saya berdoa mahu bersama-sama mereka sampai ke alam syurga,” kata Ziana.
Mengulas lanjut mengenai isu ini, Fauziah pun dilihat senada dengan penyanyi yang popular dengan lagu DIa itu. Membezakan pengalamannya dengan Ziana apabila dua orang anak lelakinya tinggal berjauhan.
“Namun saya reda, tenang bersabar dengan takdir ini. Dah bertahun-tahun bersendiri (bergelar ibu tunggal sejak 2007). Saya tak anggap ini adalah masalah atau perlu kahwin lagi,” katanya.
Bertahun-tahun lamanya jarang dapat jumpa anak-anak namun dia tak berasa bimbang kerana tahu mereka hidup selesa di bawah jagaan bekas suami.
“Saya faham perpisahan kami kerana mereka sedang menyambung pengajian di London. Sebagai ibu saya sentiasa mendoakan dan ingat kepada mereka.
“Kalau berjumpa pasti saya akan meraikan mereka,” katanya tentang dua anak teruna Jeffri Joaqium Indot, 21, dan Jeremy Jay Indot, 19.
Seronok berhimpun
Bercerita mengenai sambutan lebaran kali ini, Ziana berkumpul bersama-sama anak-anaknya beraya dengan kaum keluarganya di Shah Alam, Selangor.
“Riuh rendah suasana hari raya sejak dulu memang indah. Malam raya bergotong royong memasak tapi sampai sekarang masih mencari macam mana resipi kuah kacang sesedap masakan emak.
“Suasana raya sangat menggembirakan kami lima orang adik-beradik duduk berhimpun. Cucu emak dan abah pun dah 12 orang, jadi boleh bayangkan macam mana meriahkan suasana raya kami,” kata kakak penyanyi Anuar Zain ini.
Seperti mana lebaran tahun terdahulu, kebanyakan persiapan tertumpu kepada anak-anak sahaja. Pendek kata dia boleh berhabis bagi memastikan mereka menikmati erti raya yang sebenar.
Tahun ini juga, Ziana akan bercuti selama seminggu sebelum memenuhi undangan nyanyian di beberapa lokasi termasuklah di Singapura.
Fauziah pula memilih untuk pulang ke Johor bagi meraikan lebaran bersama ibunya. Setiap kali tibanya 1 Syawal, dia akan melaram dengan baju kurung yang menjadi kesukaan.
“Kalau diikutkan memang saya ada mendapat tajaan daripada beberapa butik. Tetapi bila berhari raya, baju kurung juga yang menjadi pilihan. Sebab itu awal-awal lagi saya sudah tempah selain hadiah untuk orang tua.
“Bila raya saya akan terkenang raya zaman dahulu sewaktu arwah ayah masih ada. Dia dan ibu akan ke dapur menyediakan hidangan. Kedua-duanya pandai memasak aneka jenis masakan Johor termasuklah kuah lodeh yang menjadi kesukaan saya.
“Setelah ayah meninggal dunia lebih 10 tahun lalu, saya beraya bersama ibu. Tahun ini mungkin kami akan beraya di kampung melawat saudara-mara sebelum bercuti bersama-sama,” tambahnya bakal mengeluarkan lagu baharu ciptaan Ross Ariffin.











