Ketibaan musim perayaan kali ini sudah pasti menggamit perantau yang tinggal di bandar untuk pulang ke kampung halaman masing-masing tetapi di sebalik kepulangan ini pastinya ada kisah menarik di sebalik keunikan nama tempat dan kampung mereka.
Untuk kali ini ruangan Rencam menyenaraikan 10 nama kampung yang unik, pelik dan menarik yang mungkin pertama kali didengar oleh pembaca atau pernah didengar sebelum ini tetapi tidak diketahui di mana lokasinya atau asal usulnya.
1. KAMPUNG PARIT JERMAN
Sebenarnya terdapat dua tempat yang berkongsi nama Kampung Jerman di negara ini iaitu Kampung Parit Jerman di Setiawan, Perak dan Kampung Parit Jerman, Pontian, Johor. Bagaimanapun, nama Kampung Parit Jerman di Pontian pernah popular seketika gara-gara tempias aksi cemerlang pasukan bola sepak Jerman dalam Piala Dunia 2014 sehingga menjadi juara selepas menewaskan pasukan Argentina dalam perlawanan akhir.
2. KAMPUNG IMAM LAPAR
Nama kampung ini seolah-olah seperti kedengaran seorang imam yang sedang kelaparan tetapi sebenarnya nama kampung ini yang terletak di Kuala Terengganu, Terengganu mempunyai kisah menarik. Mengikut penduduk tempatan, nama kampung ini berasal daripada kisah dua pedagang yang singgah ke Pangkalan Rengas Sembilan untuk mencari makanan kerana lapar.
3. BAGAN TENGKORAK
Walaupun nama Bagan Tengkorak yang terletak di Tanjung Karang, Selangor bunyi seperti menyeramkan, apabila menjelang Hari Raya Aidilfitri kawasan perkampungan ini sangat meriah. Sebenarnya terdapat kisah menarik yang agak menyeramkan di sebalik nama tempat ini apabila kawasan di sini pernah menjadi lokasi tentera Jepun yang memasuki ke Tanah Melayu sekitar 1941 menjalankan hukuman pancung. Lama kelamaan nama tempat ini digelar sebagai Bagan Tengkorak sempena mengambil nama pantai yang terdapat di sini dan tengkorak yang merujuk kepada rangka manusia yang dibunuh kejam suatu ketika dahulu.
4. KAMPUNG TELUK PENYAMUN
Kampung ini terletak di Bestari Jaya , Selangor dan mendapat nama Teluk Penyamun sejak beratus-ratus tahun dahulu apabila terdapat penduduk di sekitar kawasan tersebut pada waktu itu menjalankan kegiatan melanun dan menyamun di sepanjang pantai Selangor. Hasil daripada kegiatan ini kemudiannya disimpan di sebuah teluk yang sehingga kini dikenali dengan nama Teluk Penyamun yang terletak kira-kira sebatu dari kuala sungai.
5. KAMPUNG PARIS
Kawasan perkampungan ini yang terletak di Kinabatangan, Sabah mula didirikan pada 1976 bagi menempatkan penduduk beragama Islam di kawasan tersebut malah, nama Paris itu sendiri adalah singkatan kepada Perkampungan Anak Rakyat Islam Sabah (Paris).
6. KAMPUNG PERMATANG KERAT TELUNJUK
Sekali dengar nama kampung ini yang terletak di Bandar Baharu, Kedah macam mengerikan tetapi sebenarnya nama kampung ini diambil daripada nama pokok kerat telunjuk atau pokok kedondong hutan yang banyak tumbuh di kawasan permatang atau batas sawah di sini.
7. PERMATANG TIGA RINGGIT
Nama Permatang Tiga Ringgit yang terletak di Kepala Batas, Pulau Pinang mungkin tidak terkenal seperti nama Permatang Pauh yang turut terletak berhampiran tetapi nama Permatang Tiga Ringgit agak pelik apabila pertama kali didengar. Menurut penduduk tempatan nama kampung ini diambil apabila penduduk Setoi sekarang Satun di Thailand pada zaman dahulu ketika berhijrah ke sini perlu membayar wang sebanyak tiga ringgit untuk meneroka kawasan kampung tersebut. Lama-kelamaan nama kampung ini digelar Permatang Tiga Ringgit hingga sekarang.
8. KAMPUNG BUJANG
Jangan salah sangka, tidak semua yang tinggal di sini berstatus bujang atau perkampungan untuk orang bujang. Kampung ini yang terletak di daerah Kuala Muda, Kedah sangat terkenal dengan kawasan tapak arkeologi Lembah Bujang dan tempat perkelahan Tupah. Selain itu, kampung ini juga terletak berhampiran bandar Sungai Petani iaitu kira-kira 25 kilometer selain pekan-pekan kecil seperti Merbok, Semeling dan Tanjung Dawai.
9. PEKAN LACHAU
Hati-hati apabila menyebut nama pekan ini jika tersalah sebut membawa maksud yang lain. Pekan Lachau merupakan sebuah pekan yang terletak Sri Aman, Sarawak. Sebahagian besar penduduk di pekan ini adalah masyarakat bumiputera Iban. Menurut penduduk tempatan nama lachau diambil sempena dengan nama sejenis cicak hutan yang sering ditemui di sini.
10. KAMPUNG KEDAI LALAT
Kampung Kedai Lalat terletak lebih kurang 15 minit dari Kota Bharu, Kelantan. Meskipun nama kampung ini diambil sempena nama serangga yang dianggap kotor sebenarnya ia bukan disebabkan di kampung ini terdapat banyak lalat tetapi disebabkan pekan tersebut yang dahulunya dikenali sebagai Jembal dikunjungi oleh ramai penjual dan pembeli dalam masa yang singkat sahaja seperti dihurung lalat.











