SEREMBAN – Pelantikan peguam PKR, Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melanggar manifesto Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Jalaluddin Alias berkata, SPRM sepatutnya bebas daripada pengaruh politik apatah lagi dikemudi oleh Latheefa yang pernah menjadi ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR.
“Walaupun Latheefa telah membuat kenyataan meninggalkan PKR namun saya bimbang beliau tidak boleh melaksanakan tugas dengan bebas dan profesional.
“Janji PH pada PRU lalu mengenai SPRM dalam buku ‘harapan’ menyebut kerajaan akan menaik taraf SPRM seperti Suruhanjaya Pilihan Raya bagi membolehkan SPRM mempunyai autonomi dan kuasa tersendiri.
“SPRM juga akan melapor terus kepada Parlimen dan bukan lagi Perdana Menteri. Tetapi saya difahamkan Jawatankuasa Parlimen tidak maklum mengenainya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ahli Parlimen Jelebu itu juga bimbang Latheefa akan bertindak berat sebelah dan hanya mengarahkan siasatan terhadap pihak pembangkang kerana berbeza fahaman politik.
“Kita tahu Latheefa bukan sahaja bergerak sebagai aktivis peguam tetapi pernah menjadi orang kuat PKR selain pernah mewakili ahli-ahli politik dalam kes mahkamah terutamanya dari PKR.
“Saya menuntut kerajaan mempertimbangkan semula pelantikan ini dan pelantikan perlulah dibuat terhadap orang yang tidak mempunyai latar belakang politik dan berwibawa tinggi.
“Jangan cemari institusi yang seharusnya bebas daripada pengaruh politik,” katanya. – UTUSAN ONLINE











