PUTRAJAYA – Latheefa Koya menjelaskan sesiapa berhak menyoal, mengkritik atau mengeluarkan pendapat masing-masing berhubung pelantikannya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ujar beliau, sudah banyak pendapat yang dikeluarkan semenjak pelantikan itu diumumkan sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri.
“Pagi ini, saya telah memulakan tugas hari penuh pertama saya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.
“Sesiapapun berhak menyoal, mengkritik atau mengeluarkan pendapat masing-masing, ini tidak mengapa. Tugas saya jelas iaitu itu untuk membanteras rasuah di mana-mana sahaja,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ujar beliau, dengan sokongan dan dokongan rakyat dan pegawai-pegawai saya di SPRM, pihaknya akan dapat mengubah Malaysia kepada satu masyarakat yang alah kepada rasuah dan bebas rasuah.
Beliau di samping itu juga akan melihat kepada tindakan jangka panjang termasuk juga pendidikan bagi mewujudkan satu budaya yang tidak bertoleransi kepada rasuah.
“Adalah hak asas setiap rakyat Malaysia untuk dibenarkan hidup, bekerja dan makmur dalam satu persekitaran yang bebas rasuah.
“Dengan pertolongan Allah, saya berharap untuk berjaya dalam tugas saya ini,” katanya.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan sebelum ini mengumumkan pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu untuk tempoh kontrak selama dua tahun berkuat kuasa mulai 1 Jun lalu.
Walau bagaimanapun pelantikan itu menimbulkan kritikan pelbagai pihak kerana pengamal undang-undang tersebut merupakan ahli PKR.
Namun beliau memaklumkan telah menghantar surat peletakan jawatannya sebagai ahli PKR.-UTUSAN ONLINE











