Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, peningkatan itu mengatasi konsensus pasaran terbitan Bloomberg yang menjangkakan penurunan sebanyak 2.1 peratus.
“Kenaikan eksport bagi bulan April ini disumbangkan oleh peningkatan permintaan asing untuk barangan elektrikal dan elektronik buatan tempatan, serta barangan petroleum, barangan kimia dan gas asli cecair (LNG).
“Pertumbuhan eksport, yang berlaku semasa perang dagang sedang berlangsung antara dua ekonomi terbesar dunia, menonjolkan daya saing Malaysia yang tinggi di persada dunia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, jelas Guan Eng, jumlah perdagangan Malaysia juga meningkat sebanyak 2.6 peratus kepada RM159.5 bilion bagi April lalu daripada RM155.5 bilion setahun lalu.
Tambahnya, import bagi April lalu pula tumbuh 4.4 peratus tahun-ke-tahun dan turut mengatasi jangkaan pasaran terbitan Bloomberg yang mengunjurkan kemerosotan 0.3 peratus.
Menurutnya, perangkaan import adalah penting kerana ia menggambarkan permintaan domestik dan kenaikan import bererti penggunaan swasta serta Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan turut berkembang.
Peningkatan import dalam bulan April kata beliau, bermakna permintaan domestik pada suku kedua akan berkembang, dan ini adalah setelah KDNK negara meningkat 4.5 peratus pada suku pertama tahun 2019 sambil mengatasi konsensus pasaran terbitan Bloomberg serendah 4.3 peratus bagi suku tersebut.
Tambahnya, import barangan penggunaan bagi bulan April 2019 telah meningkat 18.9 peratus tahun-ke-tahun, selepas tumbuh dengan kukuhnya pada kadar 10.5 peratus dalam Mac lalu.
Selanjutnya, ujar beliau, import barangan pengantara bagi bulan April melonjak 20.3 peratus tahun-ke-tahun, setelah naik hanya 3.2 peratus dalam Mac.
“Barangan pengantara digunakan bagi membuat barangan akhir untuk pengguna. Pertumbuhan kukuh bagi import barangan penggunaan dan pengantara menggambarkan pertumbuhan KDNK suku ke-2 tahun 2019 yang sihat.
“Perkembangan positif ini berlangsung semasa kadar inflasi stabil pada 0.2 peratus tahun ke-tahun dalam bulan April, kadar pengangguran kekal rendah pada 3.4 peratus pada bulan Mac, dan jangkaan bahawa pengeluaran perindustrian akan terus berkembang dalam suku kedua tahun ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE











