GERIK – Seorang bayi perempuan berusia setahun maut manakala ibu dan dua adik-beradiknya parah setelah terlibat dalam kemalangan dua buah kereta di Kilometer 54, Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 10.08 malam itu, Syifaa Thahirah Omar Shaferee maut di tempat kejadian manakala ibunya, Sarkhiyah Manshor, 37, serta kakak, Syaza Thoyyibah, 11, dan abangnya, Ammar Syazwan, 9, pula parah.
Bapa mangsa, Omar Shaferee Mamat, 44, yang memandu kereta Perodua Alza tidak mengalami sebarang kecederaan manakala pemandu Perodua Myvi iatu seorang wanita berusia 32 tahun cedera ringan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintenden Zakaria Abd. Rahman berkata, ketika kejadian, kereta Perodua Myvi dipandu pegawai kanan polis dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Kedah itu dalam perjalanan dari Jeli ke Gerik.
Katanya, apabila sampai di tempat kejadian, kereta berkenaan hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan melanggar kereta jenis Perodua Alza yang dinaiki lima beranak itu.
“Akibat pelanggaran itu, empat beranak yang duduk di bahagian penumpang Perodua Alza cedera parah namun seorang daripadanya iaitu bayi perempuan berusia setahun disahkan maut di tempat kejadian.
“Ibu serta kakak dan abang bayi itu yang turut parah dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan kecemasan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, kemalangan tersebut berlaku di jalan selekoh menuruni bukit dengan laluan dua hala iaitu satu lorong mendaki ke Jeli dan satu lagi lorong menurun ke Gerik.
Katanya, ketika kejadian, keadaan jalan basah ekoran hujan renyai.
“Kemalangan itu menyebabkan kedua-dua buah kenderaan mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan. Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN ONLINE











