KUALA LUMPUR – Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai menolak idea menghapuskan sekolah vernakular dan memperkenalkan sistem sekolah satu aliran.
Beliau membidas kenyataan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik malah mendakwa Ahli Parlimen Simpang Renggam itu tidak mahu mengakui kesalahan sendiri walaupun sedang dikritik teruk komuniti Cina.
Kata beliau, dunia telah mengiktiraf sistem pendidikan berasaskan bahasa ibunda apabila Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) mengangkat kepentingan bahasa ibunda dalam pendidikan.
“UNESCO mencadangkan supaya pelajar menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar ketika awal persekolahan dan harus memperkasakan bahasa ibunda ke tahap yang lebih tinggi.
“Pertubuhan antarabangsa memberi pengiktirafan tinggi terhadap pendidikan berasaskan bahasa ibunda. Saya hairan, mengapa Maszlee masih cuba memansuhkan pendidikan pelbagai aliran?” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, New Straits Times menerbitkan artikel wawancara eksklusif wartawannya dengan Maszlee dan dalam wawancara itu, Maszlee berkata sistem sekolah satu aliran adalah sistem yang ideal.
Walau bagaimanapun, beliau tidak menyatakan apa-apa usaha ke arah menghapuskan sekolah vernakular, malah mengakui ia adalah satu kerja yang sukar kerana sekolah tersebut telah wujud sejak lebih seratus tahun.
“Mengubahnya adalah tidak mustahil, tetapi tidak boleh selesai dalam tempoh yang singkat. Banyak yang perlu dilakukan. Ketika ini, keutamaan saya ialah menyatukan masyarakat agar mereka mempunyai lebih banyak masa bersama untuk saling memahami,” katanya dalam wawancara itu. – UTUSAN ONLINE











