PUTRAJAYA – Pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wanita pertama Malaysia merupakan satu langkah yang amat positif dalam memperkasakan penyertaan wanita di dalam proses pembuat keputusan di Malaysia.
Dengan mempunyai latar belakang profesional yang mengagumkan, Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH), Zuraida Kamaruddin berkata, Latheefa merupakan seorang peguam dan aktivis merupakan pilihan terbaik kerajaan dalam usaha mereformasikan tadbir urus ke arah yang lebih telus dan berintegriti.
“Sebagai seorang peguam yang berpengalaman, beliau telah mengendalikan pelbagai kes berprofil tinggi dan juga yang membabitkan kepentingan awam.
“Syabas dan tahniah diucapkan kepada beliau. Semoga pelantikan ini akan mendatangkan manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pejabat Perdana Menteri hari ini mengumumkan pelantikan Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty itu sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu untuk tempoh kontrak selama dua tahun berkuat kuasa mulai 1 Jun lalu. – UTUSAN ONLINE











