KUALA LUMPUR – Program kelestarian yang dijalankan oleh Celcom Axiata Berhad (Celcom) di Tasik Chini, Pahang mendapat pengiktirafan daripada Anugerah Syarikat Bertanggungjawab Asia (AREA) dalam kategori Kepimpinan Hijau hasil usaha syarikat memperkasa komuniti luar bandar dan kelestarian alam semula jadi.
Menurut syarikat itu, AREA mengiktiraf dan menyokong organisasi di seluruh Asia, berdasarkan empat kriteria iaitu alam sekitar, amalan yang adil, komuniti dan warga, yang merupakan aspek kritikal dalam matlamat mengangkat perusahaan bertanggungjawab.
Pemenang AREA 2019 diumumkan semasa Sidang Kemuncak CSR Antarabangsa yang diadakan di Taipei, Taiwan pada 24 Mei lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Idham Nawawi berkata, anugerah tersebut adalah satu lagi kejayaan syarikat, khususnya melalui projek Tasik Chini yang merupakan antara daripada pelbagai inisiatif dalam menyelaraskan keterangkuman digital dan kelestarian.
“Celcom berbangga menjadi organisasi yang merapatkan jurang digital antara komuniti luar bandar serta membuka peluang tanpa batas kepada Orang Asli, untuk membolehkan mereka memperbaiki kehidupan dan status ekonomi.
“Pada masa yang sama kami teruja kerana dapat menjalankan peranan bagi kesejahteraan alam sekitar dengan meluaskan lagi program kelestarian. Kami berharap untuk memberikan inspirasi kepada rakyat Malaysia, sama ada individu mahu pun organisasi untuk berperanan dalam pemeliharaan alam sekitar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Celcom, pada Oktober 2018 syarikat telah menjalinkan usahasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam membangun dan melaksanakan rangka kerja kelestarian bagi persekitaran Tasik Chini dan komuniti setempat, khusus dalam keterangkuman digital, pengumpulan data dan e-keusahawanan.
Jelas syarikat itu lagi, melalui pusat Internet yang dibangunkan oleh Celcom, penduduk tempatan dan komuniti Orang Asli telah mempunyai akses kepada latihan dan sesi perkongsian ilmu serta platform untuk menyertai e-dagang.
“Dalam mememenuhi keperluan untuk menangani isu pelupusan hutan yang menjejaskan kawasan sekeliling, 1,000 pokok baharu telah ditanam serta dilabel dengan kod maklum balas pantas (QR) bagi membolehkan rekod maklumat secara digital.
“Ini merupakan sebahagian daripada usaha Celcom untuk membantu Tasik Chini mengekalkan statusnya sebagai Rizab Biosfera Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) yang diberikan pada tahun 2009,” jelas syarikat itu. -UTUSAN ONLINE











