GUA MUSANG – Kesucian Ramadan yang hampir tiba di penghujung, bagaikan dinodai sikap tidak bertanggungjawab segelintir perantau yang membuang sampah merata-rata ketika mereka dalam perjalanan pulang ke kampung halaman masing-masing.
Pemandangan menyakitkan mata kini boleh dilihat apabila banyak sampah-sarap ditinggalkan di lokasi awam di sekitar jajahan ini yang sememangnya kerap menjadi persinggahan para perantau untuk berbuka puasa dan berehat.
Sikap tersebut secara tidak langsung menimbulkan persoalan, adakah para perantau ini hanya menjaga kebersihan alam sekitar ketika berada di luar Kelantan dan mengabaikan aspek itu sebaik sahaja masuk ke negeri ini?
Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Ahmad Fauzi, 34, berkata, sikap itu disifatkan tidak bertamadun selain mencemarkan imej Kelantan yang terkenal dengan jolokan ‘Negeri Serambi Mekah’.
“Kalau orang label rakyat Kelantan pengotor kita naik angin hingga tak ingat dunia nak mengamuk, tapi inilah hakikatnya.
“Sepatutnya perantau tunjukkan sikap baik dengan buang sampah di dalam tong yang telah disediakan, jadi perbuatan itu boleh menjadi contoh kepada masyarakat setempat pula,” katanya.
Ahmad Fauzi berkata, keadaan sampah-sarap bertimbun dan bersepah di merata-rata tempat turut menyusahkan para pekerja pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terpaksa bekerja keras membersihkan semula lokasi yang kotor.
“Saya harap selepas ini anggota penguat kuasa Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) ambil tindakan tegas dan saman individu yang tidak mahu menjaga kebersihan ini.
“Saman ini sebagai pengajaran kepada mereka jangan terus mengamalkan sikap tidak bertamadun,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE











