KUALA LUMPUR 4 Jun – Rendang masakan mak bakal dirindui pada sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, akui pemain tengah Harimau Malaya, Akram Mahinan.
Bukan kali pertama dia terpaksa menyambut sambutan setahun sekali itu tanpa keluarga tercinta tetapi pernah melaluinya pada tahun 2010 ketika mewakili negara dalam kejohanan Asia Peringkat Sekolah di Korea Selatan.
Jelasnya, kerinduan dan rasa sedih itu pasti ada apabila tidak dapat bersalaman dengan kedua ibubapa pada Hari Raya pertama tetapi tugas bersama pasukan negara memerlukan pengorbanan seperti ini.
“Biasalah rindu suasana dengan keluarga, makanan dan berkunjung ke rumah saudara mara di Hari Raya. Tetapi tahun ini saya masih berkesempatan beraya bersama isteri dan anak di rumah keluarga mentua di Segamat.
“Ini kali tidak dapat beraya dengan keluarga di Kulim, kali pertama ketika mewakili negara di kejohanan Asia Peringkat Sekolah di Korea Selatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas mengenai perlawanan menentang Timor Leste pada 7 dan 11 Jun nanti, Akram berharap rakan sepasukannya tidak mengambil mudah cabaran daripada pasukan tersebut walaupun mempunyai kelebihan bermain di laman sendiri.
Dalam masa sama, kapten PKNS FC itu mengakui sebagai seorang pemain, mereka tidak akan dapat lari daripada kritikan peminat bola sepak negara tetapi paling penting bagaimana seseorang pemain itu mengendali perkara tersebut.
“Saya harap kami dapat fokus dalam perlawanan ini dan tidak mengulangi kesilapan ketika bertemu Singapura (AirMarine) sebelum ini. Dua perlawanan ini kita perlu menang.
“Kritikan terdapat dimana sahaja, bagi saya perkara itu terpaksa dihadapi dan sukar untuk buat semua berpuas hati dengan apa kita lakukan, lebih penting fokus dengan apa yang mahu dilakukan.
“Kalau kritikan baik kita gunakan untuk memperbaiki kekurangan yang ada, kalau kritikan yang negatif lebih baik abaikan,”jelas anak bongsu daripada lima beradik itu.- UTUSAN ONLINE











