PASIR PUTEH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) hari ini menyuntik semangat Laskar Kelas 1, Che Ku Syahmizam Che Ku Muhammad apabila menziarahi anggotanya yang lumpuh separuh badan itu di rumahnya di Kampung Air Tawar, Besut.
Rombongan itu diketuai Timbalan Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Komander Maritim Ismail Hamzah dan dibuat sempena Program Cakna dan Ziarah Muhibah anjuran agensi terbabit.
Timbalan Pengarah (Pengurusan) Maritim Malaysia Kelantan, Wan Khairi Wan Hamat berkata, memandangkan esok umat Islam bakal menyambut Aidilfitri, pihaknya mahu menziarahi Che Ku Syahmizan untuk bertanya khabar, memberi kata-kata semangat serta menghulurkan sumbangan kepadanya.
Menurutnya, anggota itu lumpuh separuh badan akibat terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Zon Maritim Malaust Labuan, Sabah, pada 8 April 2016.
“Anggota yang berusia 26 tahun dan masih bujang itu kini tinggal di rumah keluarganya bagi memudahkan pengurusan hariannya,” katanya kepada pemberita hari ini.
Wan Khairi berkata, Che Ku Syahmizan kini menjalani rawatan fisioterapi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.
“Beliau dibenarkan berpindah tempat kerja dan melapor di Maritim Malaysia negeri ini pada 25 Mac 2019 bagi memudahkan rawatan susulan selain berdekatan dengan keluarganya.
“Bapanya yang dulunya nelayan kini tidak turun ke laut kerana mengurus sepenuh masa anak sulung dari enam beradik itu. Dia kini membantu isteri membuat kuih untuk jualan secara kecil-kecilan,” katanya.
Dalam lawatan itu, Maritim Malaysia Kelantan menyampaikan sumbangan dalam bentuk kelengkapan hari raya termasuk biskut dan duit raya dari Sea Guardian Club Maritim Kelantan bagi menceriakan Che Ku Shahmizan.
Menurut Wan Khairi, selain menzirahi anggota yang sakit, Sea Guardian Club Maritim Kelantan turut memberi sumbangan duit raya kepada anggota yang mempunyai anak-anak istimewa atau kurang upaya bagi menghargai ketabahan mereka menjaga anak anugerah Allah SWT itu. – UTUSAN ONLINE











