MELAKA – Bagi memeriahkan sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini, sebanyak 150 ejen Prudential BSN Takaful cawangan Melaka meraikan kakitangan Pusat Perubatan Mahkota di Banda Hilir di sini dalam satu majlis yang diadakan hari ini.
Program Ziarah Ramadan 1.0 itu merupakan julung-julung kali diadakan bagi berkongsi kegembiraan bersama petugas dan pesakit di pusat perubatan tersebut khususnya mereka yang bakal menyambut kedatangan 1 Syawal.
Ketua Prudential BSN Takaful Melaka, Norbaizura Burhanuddin berkata, selain menziarah pesakit dan mengedarkan kurma kepada pesakit dan kakitangan, pihaknya turut mengadakan majlis berbuka puasa bersama mereka.
“Tujuan program ini diadakan bagi berkongsi kegembiraan para ejen syarikat takaful ini dengan mereka yang ditimpa kesulitan dan diharapkan sumbangan tidak seberapa ini mampu menggembirakan para pesakit dan mereka yang terpaksa bertugas pada hari raya,” katanya ketika ditemui pada program itu.
Yang turut hadir, Pengurus Unit Agensi, Nazmi Ishak, Mohd. Azri Mohd. Yatim dan Zulkhairi Hamidi.
Menurut Norbaizura, pihaknya akan terus menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti itu pada masa akan datang di beberapa lagi lokasi lain. – UTUSAN ONLINE











