Aidilfitri seorang bekas jurusolek - Utusan Malaysia

Aidilfitri seorang bekas jurusolek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENITIS air mata di pipinya saat menceritakan kisah hidup yang dilalui sehingga ke hari ini. Dalam jatuh bangun kehidupan, dia tidak pernah mengenal erti putus asa, malah baginya itu semua sebahagian asam garam hidup.

Paling menyentuh hati apabila kehidupannya berubah 360 darjah selepas dia disahkan menghidap penyakit anemia atau kekurangan sel darah merah pada tahun 2014 sehingga menjejaskan penglihatannya. Saat itu kehidupannya yang bersinar berubah menjadi kelam.

Dia yang dimaksudkan adalah seorang jurusolek ‘otai’, Hatim Thai Ahmad Nordin, 47. Semasa zaman kemuncaknya dahulu, magis tangan insan inilah yang menata rias wajah kerabat diraja Brunei, Terengganu, Negeri Sembilan dan Kedah serta artis-artis bernama besar seperti Amy Mastura, Ziana Zain dan Ning Baizura.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bukan sekadar mengubah gaya hidupnya tetapi sambutan Ramadan dan Aidilfitri juga tidak lagi seperti dahulu.

Dia yang tinggal bersama seorang anak angkat, Hadzriq Hadzkim Hatim Thai Abdullah, 10, tidak lagi berkemampuan untuk menyediakan persiapan raya mahupun pulang ke desa tercinta di Kuala Kangsar, Perak.

Tambahan pula, Hatim Thai merupakan yatim piatu tanpa ibu dan ayah di sisi selain dua abang serta adik bongsu juga telah pergi bertemu Ilahi.

Selama lima tahun dia melalui Aidilfitri yang suram bagai langsung tidak membuat persiapan.

“Sejak saya mula sakit, saya hanya berpuasa dan beraya di Kuala Lumpur. Saya seolah-olah tidak beraya kerana tidak berupaya lagi melakukan persiapan seperti dahulu. Baju raya sendiri pun tiada, anak angkat saya pun memakai baju raya atas ihsan pemberian orang.

“Rindu pada suasana desa juga tidak tergambar. Saya lebih kasihankan Hadzriq kerana dia tidak dapat merasai pengalaman balik kampung memandangkan saya tidak boleh lagi memandu. Keadaan juga tidak mengizinkan untuk saya membawa dia balik ke kampung menaiki pengangkutan awam,” katanya dengan linangan air mata ketika ditemui K2 di kediamannya di Setapak, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Aidilfitri tahun ini bagai membawa sinar baharu kepadanya apabila sejak Ramadan lalu, kesusahan hidupnya mendapat perhatian. Banyak pihak menghulurkan bantuan kepadanya sehingga ia menjadi tular.

Rakan-rakan jurusolek, Sheila Mohamad dan Deq Sha telah mengambil inisiatif menerusi Persatuan Malaysia Makeup Artis (MMA) melancarkan bantuan buatnya.

Nikmat

Terdapat juga pihak yang menyumbangkan baju raya kepada dirinya.

Keprihatinan rakan-rakannya itu telah menyentuh hati kecil lelaki itu, malah menganggapnya sebagai rahmat Allah yang datang selepas dia turut kehilangan adik bongsunya pada tahun yang sama.

“Tahun ini amat bermakna kerana ramai rakan telah datang berkunjung menghulur bantuan, malah mereka juga bersama-sama menyediakan persiapan raya buat saya termasuk bergotong-royong membersihkan rumah.

“Inilah nikmat persahabatan dan rahmat di bulan mulia ini. Saya bersyukur, kali ini Syawal disambut lebih bermakna. Saya juga berdoa agar Allah memberikan saya kekuatan dan kesempatan untuk beraya di kampung meraikan Aidilfitri bersama sanak saudara di sana,” ujarnya.

Cerita Hatim Thai, dahulu sewaktu dirinya masih sihat, menjelang Ramadan dia sering sibuk menerima tempahan khidmat jurusolek, malah ada ketikanya sehingga ke malam raya.

Hatim Thai mungkin tidak segah selebriti, namun di sebalik kesempurnaan tata rias dan imej jelitawan serta artis era 90-an, magis tangan insan inilah yang menterjemah kreativiti solekan wajah kepada tatapan visual.

Menyorot kisah hidupnya, Hatim Thai yang dilahirkan pada 19 Mei 1972 mengecapi kemuncak karier sekitar era 90-an. Tidak kira menerusi industri hiburan mahupun dalam kalangan kerabat diraja, kreativiti seni solek Hatim Thai sentiasa menjadi pilihan.

Minat

Tidak cukup dengan itu, menerusi karier jurusolek Hatim memberitahu, dia telah berpeluang mengelilingi dunia menerusi beberapa tempahan khidmat jurusolek oleh produksi filem, drama, saluran televisyen antarabangsa dan pertunjukkan fesyen.

“Secara jujur saya tidak pernah belajar menyolek sejak kecil atau secara formal. Segalanya bermula dengan minat dan keinginan untuk belajar. Saya berkecimpung dengan dunia solekan semasa menjadi ahli penari kumpulan Dewi Kasturi dan berkenalan dengan seorang koreografer serta jurusolek Azman Razali.

“Azman perasan saya akan selalu memerhati cara dia menyolek penari-penari sebelum persembahan. Saya pula pada ketika itu cuba belajar sendiri menyolek dengan mengikut semula caranya. Hinggalah suatu hari Azman meminta tolong untuk menyolekkan penari dan dia kagum dengan teknik solekan saya,” katanya.

Tambahnya, Azman telah menjadi guru dan individu yang banyak berkongsi ilmu solekan dengannya. Kadangkala jika ada sebarang tempahan untuk khidmat jurusolek, Azman akan membawa Hatim bersama-sama.

Berperwatakan ceria dan tak lokek berkongsi ilmu, Hatim juga amat disenangi rakan-rakan. Dia juga akrab dengan pengarah tersohor, Allahyarham Yasmin Ahmad dan sentiasa menjadi jurusolek pilihan untuk setiap projek filem mahupun iklannya.

Boleh bertutur dengan fasih dalam bahasa Inggeris menjadikan Hatim juga sering menjadi pilihan untuk khidmat solekan antarabangsa. Dia pernah dipanggil untuk menjadi jurusolek bagi saluran Al-Jazeera dan Channel V, selain berkhidmat untuk pertunjukkan fesyen antarabangsa.

Menurut anak keempat daripada lima beradik itu lagi, pencapaian hidupnya suatu yang sangat tidak disangka dan pada masa sama menjadi bukti bahawa karier jurusolek juga punya masa depan.

Untuk tempoh hampir 25 tahun, Hatim Thai merupakan nama besar dalam bidang jurusolek. Dia juga mempunyai butik sendiri yang dikenali sebagai Hatim Thai Kuala Lumpur, namun selepas menghidap anemia segalanya berubah.

Tahun demi tahun Hatim Thai mengalami perubahan ke atas diri dan kesihatannya sehingga kelibatnya tidak lagi kelihatan dalam arena solekan.

Bermula dengan kegagalan fungsi ginjal, Hatim Thai kemudian mengalami masalah penglihatan yang menyebabkan dia tidak lagi mampu untuk meneruskan kariernya.

Dia yang kini tinggal di lokasi yang merupakan butiknya sebelum ini tidak pernah mengeluh walau sedikitpun. Dia cuba menjalani kehidupan sebaik mungkin demi untuk menyara diri dan Hadzriq yang dibesarkannya sejak usianya tiga hari.

Untuk tempoh lima tahun meskipun berdepan masalah kesihatan dan perlu menjalani dialisis, Hatim Thai memberitahu, dia masih mencuba untuk menyesuaikan diri dan tidak pernah putus asa untuk menyediakan keperluan buat anaknya.

“Saya berusaha untuk meneruskan hidup kami. Selain mendapat bantuan zakat, saya juga menggunakan wang simpanan serta menggadaikan harta saya seperti rumah dan kereta,” ujarnya.

Syawal kali ini bagai membawa sinar baharu buat Hatim Thai, jurusolek ‘otai’ yang pernah berkhidmat untuk kerabat diraja Brunei dan saluran Al-Jazeera bersama anak angkatnya, Hadzriq selepas melalui hari raya-hari raya yang suram ekoran menghidap anemia sejak 2014.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini