Keadaan padang rimaskan Cheng Hoe - Utusan Malaysia

Keadaan padang rimaskan Cheng Hoe

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Keadaan padang Stadium Nasional, Bukit Jalil dalam perlawanan persahabatan antarabangsa, semalam, benar-benar merimaskan ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, malah, rakan sejawatan dari Nepal, Johan Kalin turut sependapat dengan beliau.

Banyak umpanan ke hadapan kotak penalti terjejas dan melengahkan rentak Harimau Malaya dalam permainan terbuka sehingga terpaksa berpuas hati dengan dua gol hasil sepakan bola mati Safawi Rasid dan Shahrul Saad.

Safawi menyudahkan sepakan penalti pada minit ke-50 selepas Akhyar Rashid dijatuhkan dalam kawasan, manakala Shahrul yang tidak dikawal sesiapa, menanduk masuk tendangan bebas, lapan minit sebelum tamat permainan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya tidak gembira dengan keadaan padang sebegini yang tidak menepati cara permainan kami dan memperlahankan umpanan dan pergerakan pemain negara apabila sampai depan kotak penalti.

“Sukar bagi pemain negara menjaringkan gol. Sejujurnya saya berharap kita kena perbaiki keadaannya dan perlukan padang yang lebih berkualiti,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan yang berkesudahan Harimau Malaya mencatat kemenangan 2-0 ke atas Nepal.

Perlawanan itu turut dianggapnya sebagai aksi pemanas badan dan motivasi terbaik Harimau Malaya menjelang pertemuan dengan Timor Leste dalam pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di laman sama, Jumaat ini dan pada 11 Jun.

“Petanda baik dan paling penting ialah kami dapat mencipta peluang jaringan. Bola sepak bukan tentang permainan terbuka sahaja tetapi dalam situasi 50-50, bola mati juga perlu dimanfaatkan untuk jaringkan gol.

“Kami tahu inilah jenis permainan yang akan dimainkan Timor Leste. Kami tidak boleh benarkan lawan menyerang balas dan kena selalu fokus. Siapa yang akan digugurkan kerana cedera, saya perlu rujuk kepada pegawai perubatan kami,” katanya.

Kalin, warga Sweden, turut sependapat dengan Cheng Hoe mengenai keadaan padang dan berkata, pasukannya menghadapi masalah untuk mengawal bola dengan baik.

“Sukar untuk meningkatkan corak asakan kami, 10 minit pertama kami seperti hilang punca. Malaysia berhak menang kerana mereka pasukan yang lebih baik. Mereka terlalu gagah dan selangkah di depan kami. Saya tidak fikir kami terlalu menghormati lawan, cuma kami kurang mengasak dan mudah lepaskan gol menerusi bola mati,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini