BUKIT MERTAJAM – Enam penyamun lelaki bersenjatakan parang kini diburu polis selepas melarikan lima kilo emas milik sebuah syarikat berjumlah RM900,000 dalam satu kejadian rompakan di Jalan Hadapan Rumah Pam Jabatan Pengairan dan Saliran daerah Seberang Perai Tengah di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, suspek telah melarikan kereta jenis Proton X70 yang dipandu dua pekerja syarikat berkenaan.
Difahamkan, pekerja syarikat itu membawa emas berkenaan yang disimpan di bahagian bonet belakang kereta itu untuk menjalankan urusan perniagaan di sebuah kedai emas di Jitra, Kedah.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, ketika kejadian sebuah kereta jenis BMW dipercayai dinaiki suspek telah memberhentikan kenderaan itu secara mengejut lalu kereta jenis Proton yang dipandu oleh pekerja syarikat berkenaan telah terlanggar kereta tersebut.
“Kemudian keluar tiga orang suspek memakai topeng muka dan di tangan mereka kesemuanya memegang parang.
“Sebuah lagi kenderaan jenis pacuan empat roda telah menyekat laluan belakang kereta mangsa dan keluar dua suspek yang juga memakai topeng muka serta memegang parang,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, suspek terus bertindak memecahkan cermin kereta mangsa di bahagian hadapan kiri serta kanan dan beberapa orang suspek telah menarik mangsa dan rakannya keluar dari kereta.
“Mereka telah merampas beg duit milik mangsa dan rakan serta melarikan kenderaan mangsa.
“Di dalam kenderaan mangsa terdapat dua buah beg yang mengandungi barang kemas sebanyak lima kilo bernilai lebih kurang RM 900,000 yang disimpan di belakang bonet kereta tersebut,” katanya.
Tambahnya, kawasan kejadian merupakan tempat yang sunyi dan pihak polis masih meneliti rakaman kamera litar tertutup di lokasi kejadian.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan gerakan memburu suspek sedang dilakukan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










