KUALA LUMPUR- Kwasa Land Sdn. Bhd. menubuhkan dana Wakaf Khas Masjid Kwasa Damansara bagi memudahkan masyarakat yang ingin menyumbang bagi pembinaan masjid tersebut.
Pengarah Urusan Kwasa Land Sdn Bhd merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Masjid Kwasa Damansara, Datuk Mohd. Lotfy Mohd. Noh memberitahu, masjid tersebut akan dibina di atas tapak seluas lebih dua hektar dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.
“Setelah siap, masjid ini mampu memuatkan kira-kira 3,000 jemaah dalam satu-satu masa. Pembinaan masjid ini merupakan salah satu agenda untuk memenuhi keperluan keagamaan dan mengukuhkan hubungan kemasyarakatan.
“Masjid Kwasa Damansara ini bukan sahaja akan menjadi tempat ibadat tetapi sebagai pusat masyarakat dan institusi pembelajaran yang mengutamakan perkembangan daripada segi sosial dan agama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.- UTUSAN ONLINE











