Untung bersih MAHB jatuh 66.35 peratus - Utusan Malaysia

Untung bersih MAHB jatuh 66.35 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 31 Mei – Keuntungan bersih Malaysia Airports Holdings Bhd., (MAHB) merosot sebanyak 66.35 peratus tahun ke tahun kepada RM149.58 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2019 daripada RM444.60 juta yang dicatatkan tahun sebelumnya disebabkan perbelanjaan yang lebih tinggi dalam utiliti dan penyelenggaraan.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, perolehannya meningkat tiga peratus tahun ke tahun kepada RM1.25 bilion berbanding RM1.22 bilion dipacu oleh pertumbuhan penumpang keseluruhan.

Pendapatan sesaham MAHB jatuh kepada 8.16 sen daripada 25.94 sen tahun lalu dan syarikat tersebut tidak mengumumkan sebarang dividen.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dari segi operasi, perolehan operasi bukan lapangan terbang meningkat empat peratus suku ke suku dipacu oleh sumbangan kukuh daripada segmen projek kami.

“Perolehan operasi lapangan terbang bagaimanapun menyusut 0.2 peratus disebabkan perolehan bukan aeronautik yang lebih rendah sebanyak 1.2 peratus daripada operasi di Turki,” katanya di sini hari ini.

Syarikat pengendali lapangan terbang itu berkata, secara keseluruhan operasinya di Malaysia menyaksikan penyusutan sebanyak 0.5 peratus dalam perolehan kepada RM931.7 juta manakala operasi di Qatar susut 5.3 peratus kepada RM40.9 juta. Bagaimanapun operasi MAHB di Turki mencatat kenaikan 2.7 peratus kepada RM279.7 juta.

Melangkah ke depan, MAHB berkata pihaknya yakin pertumbuhan 4.9 peratus bagi 2019 mampu dicapai dengan pengisian kapasiti tempat duduk kekal melebihi paras sasaran.

“Konsolidasi dan pembetulan lalu lintas domestik dijangka berterusan sementara sektor antarabangsa juga dijangka mengalami peningkatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini