KUALA LUMPUR 31 Mei – Bursa Malaysia Bhd. mengeluarkan kertas rundingan untuk mendapatkan maklum balas orang ramai mengenai cadangan pindaan kepada Peraturan Bursa Malaysia Depository Sendirian Bhd. (Deposit Depository) bagi memudahkan eServis sistem depositori pusat (CDS) untuk pendeposit individu.
Ciri-ciri eServis baharu CDS itu akan ditawarkan dalam dua peringkat iaitu ‘Release 1’ dan ‘Release 2’.
Bursa Malaysia dalam kenyataannya berkata, kertas rundingan itu dikeluarkan untuk memasukkan ciri-ciri tambahan dalam Release 2 yang disasarkan untuk diperkenal menjelang akhir tahun.
Katanya, ciri-ciri tambahan termasuk membenarkan individu pendeposit membuka akaun CDS baharu, melanggan tawaran awam permulaan dan terbitan hak serta melakukan pembayaran secara dalam talian kepada Bursa Depository untuk urus niaga berkaitan CDS.
Ciri-ciri tambahan lain termasuk memudahkan lain-lain aktiviti seperti pemindahan sekuriti antara akaun depositori CDS sendiri dengan kelulusan ejen depositori yang sah, mengaktifkan semula akaun CDS yang tidak aktif atau dorman, selain membuat pembayaran secara dalam talian kepada Bursa Depository untuk urus niaga berkaitan CDS.
Ini selaras dengan aspirasi Bursa Malaysia untuk mengubah pengalaman pelanggan dan memperkasa pendeposit individu dengan akses mudah ke pelbagai perkhidmatan depositori di mana sahaja dan bila-bila masa mengikut keselesaan mereka.
Program ini juga menggalakkan amalan kemampanan menerusi pendigitalan dan menggalakkan industri untuk menerima transformasi digital secara menyeluruh.
Dilancarkan semalam, Release 1 membolehkan pendeposit melakukan pelbagai perkhidmatan depositori melalui telefon pintar mereka, seperti melihat baki pemegangan saham dalam akaun CDS langsung, mengakses penyata bulanan, mengemas kini butiran pendeposit khusus dan menerima pemberitahuan berkaitan pemegangan saham mereka. – BERNAMA











