Op Khas Pagar Laut: 11 lelaki Indonesia ditahan, 4 sampan dirampas - Utusan Malaysia

Op Khas Pagar Laut: 11 lelaki Indonesia ditahan, 4 sampan dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI 31 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan 11 lelaki Indonesia dan empat buah sampan dalam dua operasi berasingan Ops Khas Pagar Laut di Pulau Kukup dekat Pontian.

Pengarah Maritim negeri, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, kesemua mereka berusia antara 16 hingga 30 tahun ditahan malam tadi dan awal pagi ini kerana mencuri barangan lusuh dan besi buruk daripada dua buah kapal.

SAMPAN yang digunakan individu yang ditahan dipercayai terlibat dalam rompakan kapal yang sedang ditunda di perairan Pulau Kukup, Pontian, Johor, hari ini. 

“Dalam kejadian pertama, dua buah sampan bersama-sama enam individu yang disyaki mencuri peralatan Kapal SC Lancer ditahan di kedudukan lebih kurang 3.2 batu nautika barat daya Pulau Kukup.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tangkapan kedua pula, dua buah lagi sampan bersama lima individu yang disyaki mencuri barang-barang dari barge Sinar Asia yang sedang ditunda pada kedudukan lebih kurang 2.3 batu nautika barat daya Pulau Kukup,” katanya pada sidang akhbar di Jeti Maritim Malaysia Johor di Sungai Pulau di sini hari ini.

 ANTARA barang rampasan berikutan kes rompakan kapal yang sedang ditunda di perairan Pulau Kukup, Pontian, Johor, hari ini. 

Tambahnya, kapal SC Lancer sedang dalam pelayaran dari Batam, Indonesia menuju ke Chitagong, Bangladesh manakala TB Asia Jaya dalam perjalanan dari Tawau ke Pulau Pinang.

Beliau berkata, modus operandi adalah dengan menyasarkan kapal-kapal yang bergerak secara perlahan dan mereka menjalankan aktiviti itu secara berkumpulan namun tidak menggunakan senjata.

 ANTARA barang rampasan berikutan kes rompakan kapal yang sedang ditunda di perairan Pulau Kukup, Pontian, Johor, hari ini. 

“Mereka bergerak menggunakan sampan yang biasanya dikenali sebagai Lima Sore selain cuba mengelak sebarang pergelutan dengan kru kapal disasarkan, barang yang biasa dicuri adalah besi buruk atau apa sahaja yang mudah diambil sebelum dijual di Batam,” katanya.

Aminuddin berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini