KUALA LUMPUR 31 Mei – Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) terus melakar kejayaan apabila dinobatkan sebagai antara pemenang anugerah hartanah berprestij dunia iaitu FIABCI World Prix’ Excellence Award 2019 di Golden Palace, Moscow, Rusia, semalam.
PKNS dalam kenyataan memberitahu, kemenangan itu diperoleh menerusi seni bina bangunan Ibu pejabat PKNS yang terletak di Seksyen 14 Shah Alam, Selangor dan berteknologi tinggi meraih anugerah Perak bagi kategori ‘pejabat’ daripada 13 kategori dipertandingkan.
Jelas kenyataan itu, Ketua Pegawai Operasi PKNS, Norita Mohd. Sidek mewakili PKNS untuk menerima anugerah berkenaan di Moscow.
“PKNS dipilih menerima anugerah ini hasil penilaian dan penjurian dibuat oleh juri antarabangsa sepenuhnya berdasarkan beberapa kriteria iaitu reka bentuk dan arkitek; pembangunan dan pembinaan; faedah kepada komuniti; impak kepada alam sekitar serta pemasaran dan kewangan yang kukuh,” kata kenyataan berkenaan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mohd. Azizi Mohd. Zain berkata, anugerah ini adalah satu pengiktirafan besar kepada PKNS sebagai sebuah agensi kerajaan di Malaysia.
Menurutnya, meskipun pernah meraih pelbagai anugerah, namun pencapaian ini cukup bermakna kerana ia adalah yang terbesar untuk tahun ini.
“Menerusi anugerah yang diterima ini, ia membuktikan bahawa bangunan Ibu Pejabat PKNS kini menjadi ikon di Shah Alam yang bertaraf dunia. Kejayaan ini bukan sahaja menjadi satu kebanggaan buat PKNS, tetapi juga kepada negeri Selangor dan Malaysia secara keseluruhannya,” katanya.
FIABCI World Prix D’Excellence Award adalah acara berprestij yang mengiktiraf projek-projek hartanah seluruh dunia anjuran FIABCI International Real Estate Federation. – UTUSAN ONLINE











